Pulau Pinang berhasrat wujudkan pusat belia di semua KADUN

PENAGA – Dewan Penempatan Banjir Pengkalan Bonggor dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) di sini kini ditukar guna serta dikenali sebagai Pusat Belia Penaga.

SOON Lip Chee semasa menyampaikan ucapan perasmian pembukaan Pusat Belia Penaga di sini pada pagi ini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata Kerajaan Negeri turut merancang untuk mewujudkan pusat belia di kesemua baki 39 KADUN lain di negeri ini.

“Tahniah kepada agensi negeri iaitu PYDC (Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang) kerana dalam tempoh enam bulan telahpun berjaya mengubah suai dewan dan kawasan sekitar di sini menjadi Pusat Belia Penaga yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk diakses oleh penduduk tempatan.

“Pejabat (Exco Belia dan Sukan) saya bersama-sama PYDC telah merancang untuk mewujudkan 40 pusat belia di negeri Pulau Pinang yang mana satu pusat belia akan diwujudkan di setiap KADUN,” jelasnya sebelum menyempurnakan acara perasmian Pusat Belia Penaga di sini pacda 11 April 2021.

ANTARA hasil acara mewarna periuk tanah antara yang menarik dalam karnival sehari anjuran PYDC.

Menurutnya, Pusat Belia Penaga merupakan kemudahan pertama diwujudkan seumpama itu di negeri ini, walaupun Penaga diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Mohd. Yusni Mat Piah ketika ini.

“Walaupun KADUN ini diwakili (ADUN) pembangkang, kita percaya dengan adanya kemudahan Pusat Belia Penaga dapat meningkatkan kualiti hidup golongan belia tempatan tanpa mengambil kira warna kulit, kaum, kepercayaan atau fahaman politik,” katanya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Turut berucap pada majlis sama, Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

Pengarah Majlis Sukan Negara Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua turut sertai acara perasmian ringkas tersebut.

Gerai-gerai pameran basikal, arena sepak raga tuju, pertandingan mewarna belanga tanah dan boling padang serta klinik gubahan bunga hiasan merupakan antara acara menarik pada penganjuran majlis tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB