Pulau Pinang capai peratusan tertinggi pemasangan mesin AED – CERT Georgetown

Admin
2ae5f574 a98e 4804 9b6f b33761ec3020

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru semua lokaliti untuk menyertai program kesedaran asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan penggunaan mesin Automated External Defribillator (AED) di Pulau Pinang.

Semasa berucap, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Komuniti Pasukan Tindakan Cemas (CERT) Georgetown atas usaha menyumbang mesin AED demi memenuhi keperluan penduduk setempat.

33019c9d 3000 4b92 8e4c 109bb4b9803c

a7fe2c78 160c 4c6f ac40 ae3deb5b177b
MESIN AED yang dipasang di Kompleks Jalan Kedah.

“Sejak dilancarkan sembilan tahun lalu, kini terdapat lebih 1,000 mesin AED telah dipasang di tempat-tempat awam terpilih dan turut menyelamatkan banyak nyawa, malah, dengan pemasangan di sini hari ini, lebih 600 penghuni di Kompleks Jalan Kedah akan dapat menerima manfaatnya apabila berlaku kecemasan di luar jangka.

“Justeru, saya berharap seluruh rakyat Pulau Pinang lebih cakna tentang teknik-teknik bantuan kecemasan supaya kita dapat menjaga keselamatan bersama termasuk mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan seimbang, senaman serta pemeriksaan kesihatan berjadual,” ujarnya pada majlis berkenaan dekat sini sebentar tadi.

609c086c bb9e 4b4e af9b f5c9a76b9f9e
SESI sidang media yang diadakan sebentar tadi.

Hadir sama pada Majlis Perasmian dan Penyerahan AED Flat Jalan Kedah tersebut ialah Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benji Ang Ming Quan; Pengarah Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota/Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way; Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Maidin; Presiden Kehormat Seumur Hidup CERT Georgetown, Christopher Barnabas dan Pengerusi CERT Georgetown, Lim Thiam Chong.

Sementara itu, Christopher turut memberitahu bahawa Pulau Pinang mempunyai nilai peratusan tertinggi pemasangan mesin AED.

“Pihak saya turut bekerjasama dengan negeri-negeri lain juga tetapi tidak menerima sokongan yang kuat seperti di Pulau Pinang.

“Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sering memberi sokongan yang penuh apabila melibatkan pelaksanaan program dan kempen kesedaran komuniti.

“Serentak itu, kesedaran perlu disemai dalam kalangan umum, jika tahu apa yang boleh dilakukan pada 10 minit terawal, peluang untuk selamat adalah tinggi diikuti dengan teknik CPR bagi darah mengalir ke otak untuk menghasilkan oksigen,” jelasnya lanjut.

5af20a75 571f 40eb b15e 628c23498d59
DEMONSTRASI pelaksanaan CPR.

Serentak pada majlis sama, turut dilangsungkan demonstrasi pelaksanaan CPR serta penggunaan mesin AED yang dipimpin oleh CERT Georgetown yang terlatih.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SIEW CHIA EN

Video : ALISSALA THIAN