Pulau Pinang contoh terbaik semangat Malaysia Madani – Kon YEOW

Admin
whatsapp image 2024 09 16 at 19.18.45

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan Pulau Pinang adalah contoh terbaik kepada semangat Malaysia Madani yang diraikan hari ini.

Menurut beliau, seperti sebuah taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang mekar serta harum, masyarakat majmuk di Pulau Pinang telah hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling bergantung antara satu sama lain dalam agenda pembangunan negeri.

“(Dan) perpaduan inilah yang menjadi rahsia kemakmuran Pulau Pinang, sebagai contoh, lihatlah kepada pesatnya pertumbuhan industri dan pelancongan di Pulau Pinang.

“Daripada indahnya warna-warni warisan sejarah George Town yang diiktiraf oleh UNESCO sehingga ke pembangunan sektor industri yang maju, semuanya adalah hasil daripada kerjasama erat pelbagai pihak.

54f0e5b1 25d5 4775 b06a e858701f63cc

“Dengan ini, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan bahawa kemakmuran ini tidak hanya kekal, tetapi terus berkembang maju dan terus melimpahi rakyat di negeri ini,” ujarnya ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di Dewan Millenium, Kepala Batas dekat sini sebentar tadi.

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor merupakan tetamu kehormat sambutan berkaitan.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Pengerusi Majlis-majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang; mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli DUN; Ketua-ketua Jabatan dan dif-dif jemputan lain.

Kon Yeow dalam pada itu memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menitikberatkan jalinan kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menjayakan pelaksanaan pembangunan ekonomi berlandaskan Malaysia Madani dan Visi Penang2030.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada 25,000 individu dan 126 kontinjen jalan kaki serta berkenderaan yang berdedikasi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos lalu di Padang Kota Lama.

“Tahun ini, kita diserikan lagi dengan penambahan kategori dalam pertandingan, iaitu Kategori Pakaian Terbaik.

“Juara bakal meraih RM3,000; tempat kedua, RM2,000 dan RM1,000 buat tempat ketiga,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

4ac957eb 60d3 471b 908f 8a1c2c04c741

Bagi pertandingan kawad, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin; Penang Free School; Universiti Teknologi MARA (UiTM); St. John Ambulans Malaysia Pulau Pinang; Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) masing-masing muncul juara bagi kategori masing-masing.

Manakala Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya muncul johan bagi Kategori Pakaian Terbaik.

Selamat Hari Malaysia, Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI