Pulau Pinang, Selangor kongsi idea dan pengalaman perkasa usahawan

GEORGE TOWN – Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain menerima kunjungan daripada delegasi Kerajaan Negeri Selangor hari ini, demi tujuan perkongsian strategik dan kerjasama lebih erat di antara kedua-duanya.

Lawatan tersebut diketuai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail bersama-sama lima delegasi yang lain.

Abdul Halim berkata, fokus lawatan tersebut adalah bagi berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan agenda pembangunan keusahawanan khususnya.

“Hasil daripada perkongsian idea dan bertukar pengalaman, apa yang baik akan kita contohi dan mungkin boleh diaplikasikan di peringkat negeri.

“Seperti pemberian lesen sementara tanpa yuran kepada penjaja kecil di Selangor… ini adalah inisiatif terbaik dalam membantu peniaga dan penjaja kecil mencari pendapatan.

“Di peringkat negeri, sememangnya saya telah mengutarakannya kepada Mesyuarat Exco untuk pertimbangan agar kelonggaran diberikan kepada penjaja dan peniaga kecil berpayung di tepi jalan dan sebagainya, secara dasarnya mesyuarat telah meluluskannya, cuma di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) ia belum dibincangkan lebih lanjut,” jelas beliau.

Pada pertemuan tersebut, selain pembentangan khas oleh Penang International Halab Hub (PIHH) selaku agensi bertanggungjawab memperkasa sektor halal di peringkat negeri, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman tentang hala tuju dan strategi pembangunan keusahawanan.

Antara isu yang menjadi perbualan hangat adalah inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan juga Selangor ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang kini membuka ruang kepada perniagaan norma baharu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PIHH, Aida Lim Abdullah, Masayu Azreen Md. Said (Penolong Setiausaha Kanan (Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan wakil-wakil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Bercerita lanjut mengenai inisiatif yang dilaksanakan di peringkat negeri Selangor, Rodziah memberitahu bahawa pemberian lesen sementara tanpa yuran selama tiga bulan dikeluarkan oleh PBT kepada peniaga-peniaga kecil di tepi jalan dan (berniaga) hadapan rumah.

“Mereka (penjaja) hanya perlu mendaftar tanpa perlu membayar apa-apa yuran, PBT akan keluarkan lesen sementara untuk tempoh setahun (perbaharui setiap tiga bulan), di mana setiap tiga bulan PBT akan memantau dan ini adalah inisiatif di bawah ‘Peduli Rakyat’ kerana penjaja kecil adalah kelompok rakyat yang perlu diberi perhatian selain daripada rakyat terbanyak,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : EXCO