TELUK BAHANG – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin memberitahu bahawa Pulau Pinang dijangka menerima kira-kira 50,000 pelancong pada hujung minggu ini.
Beliau berkata, jangkaan tersebut adalah susulan daripada pengumuman Perdana Menteri yang membenarkan aktiviti rentas negeri bermula semalam (10 Oktober 2021).
“Setelah larangan rentas negeri dibatalkan bermula semalam, aktiviti pelancongan dijangka kembali rancak dan saya percaya pemain-pemain industri pelancongan sudah bersedia untuk tujuan itu.
“Saya yakin pelancong-pelancong tempatan akan datang semula ke Pulau Pinang dan saya berharap agar sektor ini akan kembali ‘hidup’.
“Mewakili Kerajaan Negeri, saya ingin menasihatkan kepada pelancong dan pemain industri supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar semua dapat bercuti dalam suasana selamat,” ujar beliau dalam sidang Penang International Travel Exchange (PITE 2021 Digital Show) pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB), G. Ashwin dan Pengarah Urusan Tropical Spice Garden, Katherine Chua.
Mengulas lanjut, Soon Hin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri kini memberi perhatian kepada pelancongan domestik memandangkan sempadan antarabangsa dijangka akan dibuka pada Jun 2022.
“Bagi pelancongan antarabangsa, ia masih bergantung kepada negara terbabit sama ada membenarkan kemasukan pelancong atau tidak.
“Walau bagaimanapun, Pulau Pinang tetap bersedia sekiranya perkara tersebut diumumkan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Bercakap mengenai PITE 2021 Digital Show, Soon Hin memaklumkan bahawa pameran tersebut akan berlangsung secara maya bermula 25 hingga 29 Oktober ini.
Acara tersebut menurutnya bertujuan mempromosikan Pulau Pinang di peringkat antarabangsa sekiranya sektor pelancongan dibuka sepenuhnya kelak.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN