Pulau Pinang dijangka terima hujan sedikit Januari 2022

KAPASITI efektif air di Empangan Mengkuang hari ini direkodkan 92.7 peratus sungguhpun tinjauan hujan di negeri Pulau Pinang sepanjang bulan Januari 2022 dijangka menerima hujan sedikit iaitu antara 20 hingga 100mm sahaja.

GEORGE TOWN – Negeri Pulau Pinang bersama-sama Perlis, Kedah dan utara Perak dijangka menerima jumlah hujan di bawah purata iaitu antara 20 milimeter (mm) hingga 100mm dalam bulan Januari 2022.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui siaran langsung di portal rasminya, met.gov.my bagaimanapun melaporkan dalam bulan Februari 2022 kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 20mm hingga 250mm.

Tinjauan cuaca itu antara yang diumumkan oleh jabatan berkenaan baru-baru ini adalah bagi tempoh bulan Januari hingga Jun ini.

“Tinjauan cuaca jangka panjang bagi bulan Januari hingga Jun 2022 adalah berdasarkan konsensus ahli meteorologi melalui penganalisaan beberapa model tinjauan iklim terpilih seperti NCEP Coupled Forescast System Model Version 2 (CFSv2), JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre), European Centre for Medium Range Weather Foresast (ECMRWF) dan Seasonal Climate Forecast, International Research Institute for Climate Society (IRI),” jelas portal rasmi jabatan kerajaan tersebut.

Menurut sumber sama lagi, kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan keadaan La Nina sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga Mac 2022.

“Pada bulan April 2022 kebanyakan negeri di Semenanjung (Malaysia) dijangka menerima hujan pada paras purata antara 50mm hingga 400mm,” lapor portal itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Buletin Mutiara turut membuat carian lanjut mengenai paras kapasiti efektif air di ketiga-tiga empangan utama di negeri Pulau Pinang.

Menurut portal rasmi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), kapasiti efektif air di Empangan Mengkuang pada hari ini (19 Januari 2022) direkodkan pada paras 92.7 peratus, sementara Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam masing-masing 84.9 peratus dan 74.7 peratus.

Berikutan keadaan ini, orang awam dinasihatkan untuk terus menggunakan sumber air terawat secara hemah, serta senantiasa siap siaga menghadapi perubahan iklim dari semasa ke semasa berdasarkan sumber sahih yang dibekalkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : PBAPP