Pulau Pinang dipilih sebagai negeri berlangsungnya Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2018

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan memilih Pulau Pinang sebagai negeri berlangsungnya Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama pada 4 Ogos ini mulai 8 malam, umum Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

“Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, majlis tersebut akan dilancarkan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) serta beberapa Menteri, Timbalan Menteri kabinet, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Jabatan Persekutuan.

“YAB Ketua Menteri (Tuan Chow Kon Yeow) menjemput seluruh rakyat Pulau Pinang…ini adalah program nasional dan dianggarkan seramai 30,000 pengunjung bakal membanjiri Padang Koota Lama,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow di Komtar pada pagi 1 Ogos 2018.

Menurut Farizan, program nasional kali ini adalah bermula pada 3 hingga 5 Ogos, dengan acara kemuncak dijadualkan pada malam 4 Ogos.

“Larian Merdeka, Senam Robik Jalinan Kasih, 40 gerai pameran antara acara yang dijadual berlangsung di Padang Kota Lama,’’ jelasnya.

Sebelum itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kerana Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu, memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi acara tahunan nasional tersebut.

“Program nasional ini amat bermakna sebab sejak tahun 2008, tidak ada apa-apa acara seumpama ini diadakan di Pulau Pinang.

“Dan, (program nasional) ini juga adalah bermakna kerana selepas Pakatan Harapan menubuhkan Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang dipilih sebagai negeri berlangsungnya Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang yang pertama,” ujarnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : LAW SUUN TING