JAWI – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) yang sudah memimpin tampuk pemerintahan Pulau Pinang sejak tahun 2008 disifatkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sudah mencapai tahap matang.
Menurut beliau, walaupun tiada pengalaman pada peringkat awal, namun tekad kepimpian di negeri ini berjaya ditadbir dengan baik dan mendapat kepercayaan rakyat.
“Dengan 17 tahun pengalaman, kita berjaya menguruskan negeri ini secara matang, secara holistik dan secara pandangan luas demi memastikan rakyat jelata dapat benar-benar mendapat manfaat daripada usaha pembangunan Pulau Pinang.
“Pada masa sama, kita rasa bangga yang mana Pulau Pinang hari ini rakyatnya dapat hidup harmoni, aman dan sejahtera
“Jadi dalam 16, 17 tahun ini kita telah mengukuhkan ekonomi dengan menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, mempertingkat dasar sosial, mengutamakan pendidikan, kesihatan, membangun infrastruktur dan perumahan demi menyokong penuh kemajuan menyeluruh bagi tempoh jangka panjang,” ujarnya pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang di Dewan Chong Kuang, Nibong Tebal di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Speker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik merangkap Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang; Pengerusi PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan dif-dif kehormat daripada parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dalam pada itu juga memberi kepercayaan kepada pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim dan melihat segala yang diusahakan semakin membuahkan hasil.
“Negara kita menghadapi fasa mencabar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, namun kepimpian Perdana Menteri makin membuahkan hasil termasuk memtenteramkan politik di negara ini walaupun parti lawan cuba menggongcang keadaan.
“Apabila kita bertekad bersama-sama ke arah gabungan perpaduan, kita boleh atasi cabaran-cabaran ini.
“Kita cuma ada dua tahun lebih sebelum PRU akan datang, maka hampir sesuailah jentera kita yang sudah berehat lama perlu diperkuatkan semula,” serunya yang juga ADUN Padang Kota.
Serentak itu, Kon Yeow juga memaklumkan bahawa PH peringkat pusat dan negeri dijangka akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada bulan ini.
“Ini satu mesej penting, dengan adanya Majlis Pimpinan PH di peringkat negeri maka tanggungjawab utama adalah memulakan persiapan menghadapi PRU akan datang,” ulasnya lanjut.