Pulau Pinang: Dos penggalak, perincian dalam masa terdekat – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (kanan) diiringi Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dalam sidang media selepas acara perasmian pembukaan Taman Areca di sini pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Di Pulau Pinang, petugas barisan hadapan kesihatan, warga emas serta golongan komorbid akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan dos penggalak atau suntikan ketiga vaksin COVID-19.

Menjawab soalan pemberita, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Untuk petugas barisan hadapan kesihatan, suntikan akan diberikan membabitkan fasiliti kesihatan di seluruh negeri manakala lain-lain, akan dimaklumkan setelah Kerajaan Negeri memuktamadkan perincian pelaksanaan usaha tersebut,” katanya setelah hadir merasmikan pembukaan Taman Areca di sini pada 17 Oktober 2021.

Tambah Kon Yeow, terdapat sebilangan rakyat Pulau Pinang yang sudah menerima suntikan dos penggalak yang dipercayai diberikan kepada petugas khas sektor perubatan.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyatakan bahawa pihaknya telah menghubungi pihak sekolah agama, tahfiz serta pondok pengajian Islam di negeri ini untuk meningkatkan kadar vaksinasi pelajar-pelajarnya.

“Urusan vaksinasi pelajar-pelajar ini adalah di bawah tanggungjawab waris mereka.

“Kita mendapati bahawa ibu bapa sedia maklum akan perkara ini namun mereka menghadapi beberapa kekangan untuk membawa anak-anak ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Tiada unsur anti vaksin dalam perkara ini, cuma Kerajaan Negeri menasihatkan agar waris cepat bertindak membawa anak-anak ke PPV yang akan dibuka sehingga 30 Oktober ini,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS