Pulau Pinang galak Menu Rahmah rentas selera kaum – Exco

ABDUL Halim Hussain (dua dari kiri) semasa gimik acara perasmian persidangan Industri 4.0 Technology Adopting In Malaysia Manufacturing: Strategies For Enhancing Competitiveness di The Wembley St. Giles Hotel Penang di sini pada 10 Februari 2023.

GEORGE TOWN – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata para peniaga yang akan menyertai kira-kira 100 tapak bazar Ramadan di negeri ini turut berusaha menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5.

Bukan setakat itu sahaja,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkenaan turut menggalakkan pelaksanaan Menu Rahmah merentasi selera kaum.

ABDUL Halim Hussain dalam sidang media berkaitan di sini pada pagi tadi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media seusai menyampaikan ucap tama pada persidangan Industri 4.0 Technology Adopting In Malaysia Manufacturing: Strategies For Enhancing Competitiveness di The Wembley St. Giles Hotel Penang di sini pada 10 Februari 2023.

“Galakan pelaksanaan Menu Rahmah ini merentasi (selera kaum India dan Cina juga).

“Dulu, kita panggil ‘Economy Rice’, sekarang mungkin dikenali sebagai Menu Rahmah.

“Kita telah berbincang dengan beberapa pihak pengendali restoran untuk menggalakkan pelaksanaan Menu Rahmah ini, dalam kalangan mereka ada yang bersetuju untuk mewujudkan menu ini; juga kita berbincang dengan para peserta Bazar Ramadan untuk usaha mewujudkan Menu Rahmah ini,” jelasnya sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri komited menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Ke-10.

Menjawab soalan pemberita, Abdul Halim memberitahu bahawa setakat ini belum ada cadangan insentif kewangan daripada pihak Kerajaan Negeri bagi menjayakan program Menu Rahmah di Pulau Pinang.

27 Januari lepas, dilaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mencadangkan supaya kedai-kedai makan memperkenalkan Menu Rahmah dengan harga bawah RM5 sebagai usaha untuk membantu golongan yang memerlukan mendapatkan makanan berkualiti pada harga mampu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata Kementerian serta agensi persekutuan berkaitan wajar lebih agresif dalam memerangi ‘kartel’ serta orang tengah di samping mencukupkan bekalan barang basah demi menjayakan program Menu Rahmah tersebut.

Di samping itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga perlu melihat fungsi undang-undang berkaitan seperti Akta Kawalan Sewa (Pemansuhan) 1997 memandangkan kadar sewa lantai restoran yang terlalu mahal kadangkala turut menyumbang pada peningkatan harga jualan makanan di lot-lot komersial tertentu.

“(Cadangan pelaksanaan kembali Akta Kawalan Sewa) ini, melibatkan polisi; kerana salah satu kekangan adalah mereka (para pemilik premis komersial) sewa pada kadar yang tinggi, jadi untuk mereka (penyewa) menawarkan Menu Rahmah agak sukar sikit.

“Namun, untuk kedai makan biasa atau warung, saya yakin boleh laksanakan Menu Rahmah sebab kos operasi (termasuk sewa premis) tidak begitu tinggi,” respons beliau.

ABDUL Halim Hussain semasa menyampaikan ucapan perasmian persidangan berkaitan tadi.

Sebelum itu, Abdul Halim memberitahu pada peserta persidangan berkaitan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini akan terus memberi sokongan pada usaha penyesuaian serta pengembangan potensi sektor perkilangan dan sektor perniagaan berkaitan dalam era Industri Teknologi 4.0.

“Sebagai Kerajaan Negeri, kita bangga untuk memberi sokongan pada sektor swasta terutama industri (yang mana agensi negeri seperti) Digital Penang ditubuhkan pada tahun 2020 untuk memacu proses digitalisasi negara (di negeri ini).

“Ini bermakna, (Kerajaan Negeri melalui) Digital Penang membantu pada pemegang taruh dalam sektor perindustrian termasuk industri kecil dan sederhana (SME) untuk menyesuaikan diri dalam ekonomi digital yang kian berkembang,” katanya.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Digital Penang akan terus menjalinkan kerjasama lebih erat dengan beberapa agensi berkaitan seperti Invest Penang, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi melatih serta meningkatkan kemahiran para usahawan dan sumber tenaga kerja berkualiti sedia ada di negeri ini untuk terjun dalam sektor Industri Teknologi 4.0.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD