Pulau Pinang harap dua projek penting lulus dalam Belanjawan 2025

Admin
whatsapp image 2024 10 03 at 17.49.45 (1)

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memberi pertimbangan sewajarnya, dan seterusnya meluluskan peruntukan dimohon bagi dua projek penting pada pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan 18 Oktober ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dua projek yang dimaksudkan adalah cadangan pembinaan lebuh raya sepanjang 15 kilometer (km) di bawah Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru – Sungai Dua dan Projek Penang Silicon Design @5km+.

Bagi Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru – Sungai Dua, terkini saya menerima maklum balas bahawa pihak berwajib sedang melihat opsyen-opsyen (dikemukakan).

“(Hal ini) kerana, setiap opsyen mempunyai implikasi dari segi kos dan opsyen dan yang mana dipilih juga akan menentukan jumlah peruntukan (yang bakal diterima, jika diluluskan),” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK Daerah Timur Laut dan Barat Daya di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa opsyen yang dipilih bagi projek yang dijangka menelan belanja RM1.8 bilion itu adalah perlu menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan tersebut.

“Pendirian Kerajaan Negeri (tentang projek ini adalah ia) perlulah berkesan untuk menguraikan trafik dan bukan sekadar (kerana) kos projek tersebut murah (dari segi peruntukan),” katanya.

Menyentuh mengenai inisiatif Penang Silicon Design @5km+ pula, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mengemukakan permohonan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM60 juta.

Jumlah kos bagi projek ini adalah sebanyak RM120 juta keseluruhannya, dan bukanlah suatu jumlah yang besar jika Kerajaan Persekutuan mahu meluluskan pembiayaan sepenuhnya (RM120 juta).

“Projek ini adalah untuk memberi galakan kepada syarikat rintisan (startup company) dalam reka bentuk litar bersepadu (IC design) di negeri ini,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN