Pulau Pinang hargai bantuan projek Persekutuan, harap terima dana tunai laksanakan pembangunan

Admin
whatsapp image 2024 08 01 at 3.40.31 pm

GEORGE TOWN – Setiap negeri termasuk Pulau Pinang memerlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk dana tunai untuk melaksanakan projek-projek yang dirancang pada peringkat negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai dan tidak pernah menyangkal bantuan daripada Kerajaan Persekutuan terutamanya dalam bentuk projek-projek infrastruktur seperti sekolah, lapangan terbang, transit aliran ringan (LRT), hospital dan sebagainya.

“Namun, ia bukanlah dalam bentuk dana tunai bagi melaksanakan projek-projek yang dirancang pada peringkat negeri, tambahan pula pembangunan di Pulau Pinang kini sedang rancak,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar petang tadi.

Kon Yeow berkata demikian sebagai respon terhadap pertanyaan pemberita berhubung mekanisme kewangan pada peringkat negeri dalam mencapai Visi Penang2030 setelah cadangan agihan cukai tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

whatsapp image 2024 08 01 at 3.40.30 pm
CHOW Kon Yeow pada sidang media di Komtar.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Ekonomi & Tanah berharap agar projek-projek yang dimohon oleh Pulau Pinang dan boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan di negeri ini.

“Pulau Pinang menerima kira-kira RM1 bilion nilai projek (daripada Kerajaan Persekutuan) pada setiap tahun dalam setiap Rolling Plan Rancangan Malaysia.

“Walaupun projek-projek yang diluluskan ini di bawah jabatan dan agensi Persekutuan, dan kita (Kerajaan Negeri) tidak mempunyai ‘kawalan’, namun sedikit sebanyak membantu kita.

Tetapi, apa yang diharapkan adalah bantuan dana tunai yang membolehkan Kerajaan Negeri melaksanakan projek-projek yang dirancang (pada peringkat negeri).

“Oleh itu, apabila saya suarakan mengenai pemulangan cukai, ada negeri-negeri yang minta supaya ia (sistem pengagihan cukai kepada negeri) dikaji semula.

“(Hal ini kerana) bukan semua negeri mempunyai hasil dari sumber asli seperti petroleum, hidrogen, tenaga angin dan sebagainya…seperti di Pulau Pinang yang mana hasil kita adalah terhad, hanya dalam bentuk pengurusan dan premium tanah,” ulasnya lanjut.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mencadangkan kaji semula sistem pengagihan cukai kepada negeri dengan mengembalikan 20 peratus daripada wang cukai dikutip Kerajaan Persekutuan daripada negeri.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa ia tidak dapat dilaksanakan buat masa ini disebabkan kekangan fiskal yang dihadapi negara.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NURATIKAH RAHMAT