Pulau Pinang hargai pelaburan UWC Holdings, taja biasiswa pelatih PSDC

Admin

BUKIT TAMBUN – RM150 juta pelaburan UWC Holdings membuka kilang berkaitan peranti semikonduktor, penjagaan kesihatan dan perubatan di Batu Kawan akan mencipta kira-kira 1,200 lagi peluang pekerjaan untuk warganegara.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap UWC Holdings dapat menyediakan ruang bekerja sambil belajar dalam kilang sebagaimana diamalkan di Jerman.

“Diharapkan di sini juga diwujudkan ruang untuk belajar sambil bekerja,” jelasnya dalam Majlis Perasmian Bangunan UWC di sini 31 Mac lalu.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Pengarah Urusan UWC, Datuk Ng Chai Eng.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Pengerusi Persekutuan Pengusaha Kilang-Kilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Ooi Eng Hock; Konsulat Persekutuan Republik Jerman, Datuk Hans Brenner; Konsulat Republik Belanda, Datuk Seri Suppiah Manikam; Konsulat Republik Austria, Berthold Jungwirth serta Konsulat Denmark, Lio Chee Yeong.

Guan Eng memberitahu, Laporan Pencapaian Tahunan 2017 MIDA baru-baru ini antara lain menyebut RM10.8 bilion nilai pelaburan bidang pembuatan negeri adalah menyamai 151 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pulau Pinang juga adalah terbaik antara negeri-negeri lain apabila angka pelaburan asing langsung (FDI) ke negeri ini bernilai RM8.7 bilion, bertumbuh kira-kira 209 peratus berbanding tahun lepas.

“Maka, tidak hairanlah (stesen televisyen antarabangsa) BBC menamakan Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon’ rantau Asia pada masa depan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Sebelum itu, Azman berkata, MIDA akan terus menggalakkan lebih banyak lagi syarikat tempatan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan automasi serta teknologi pembuatan pintar masa depan, dalam era Revolusi Perindustrian 4.0.

Chai Eng pula menyatakan bahawa pelaburan UWC di Pulau Pinang diharap turut menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia termasuk negeri ini sebagai ‘negara berpendapatan tinggi’.

Pada majlis sama, Guan Eng dan Azman turut menyaksikan Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) Berkaitan Pemberian RM331,000 Biasiswa UWC Kepada Pelatih Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

Dalam MoU itu, UMW diwakili Chai Eng sendiri, manakala PSDC diwakili CEO PSDC, Mohammad Ali. Guan Eng turut menyaksikan Chai Eng menyerahkan cek replika sumbangan RM10,000 kepada tiga pihak, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Pusat, SJKC Beng Teik (Pusat) dan Persatuan Alumni Sekolah.