Pulau Pinang hasrat mohon Putrajaya laksana PKPD sekitar Penjara Seberang Perai

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berhasrat memohon Kerajaan Persekutuan di Putrajaya mempertimbangkan syor pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Penjara Seberang Perai dan kawasan kuarters kakitangan penjara berkenaan ekoran laporan tiga kes aktif COVID-19 sehingga kini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa syor itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib dalam satu mesyuarat tergempar di pejabatnya tengah hari tadi. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad.

“Pihak Kerajaan Negeri akan memohon kepada MKN untuk melaksanakan PKPD di penjara Pulau Pinang dekat Jawi (Penjara Seberang Perai), termasuk kuarters kakitangan memandangkan terdapat kes (positif COVID-19) melibatkan pegawai penjara,” responsnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang COVID-19 di Dewan Sri Pinang pada 20 Oktober 2020.

Sebelum pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyampaikan ucapan sempena sesi sulung Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING