Pulau Pinang hasrat mohon RM17.4 juta TPPM – Exco Perumahan

Admin

SUNGAI PINANG – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berhasrat memohon peruntukan berjumlah RM17.4 juta daripada Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi melaksanakan projek penaiktarafan skim perumahan awam di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, persatuan-persatuan penduduk boleh memohon peruntukan tersebut melalui Bahagian Perumahan Negeri yang mana permohonan dikemukakan sebelum Ogos ini akan diproses untuk kelulusan pada tahun yang sama.

“Setelah bertahun-tahun rakyat Pulau Pinang menunggu kelulusan TP1M (Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia), akhirnya diwujudkan TPPM yang bakal memudahkan proses permohonan kita di peringkat negeri.

“Inilah faedah yang bakal rakyat terima apabila melakukan perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) pada 9 Mei 2018.

“Terima kasih kepada Menteri Perumahan, Zuraida Kamaruddin kerana menyediakan program penyelenggaraan tersebut demi meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat termasuk di Pulau Pinang,” ujarnya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada pemberita di Taman Dato Syed Abbas dekat Jelutong, pagi ini.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Dato Syed Abbas, Sheik Mujibu Rahman Ilyas turut serta pada sidang media tersebut.

Difahamkan, TP1M diperkenalkan pada tahun 2010 dengan tawaran nisbah pembiayaan sebanyak 90 peratus kos penyelenggaraan bagi rumah kos rendah (KR) dan 70 peratus bagi rumah kos sederhana rendah (KSR), sementara baki kos ditanggung sendiri oleh persatuan penduduk.

Susulan itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang (HAPPY) untuk membiayai baki kos-kos projek penyelenggaraan berwajib yang sepatutnya dibiayai oleh persatuan penduduk, namun lebih 100 permohonan TP1M direkodkan sukar mendapat kelulusan di peringkat Putrajaya.

Melihat keadaan itu, Jagdeep memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun 2013 memperkenalkan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), dengan baki 20 peratus kos projek penyelenggaraan ditanggung oleh persatuan penduduk ataupun dibiayai wakil rakyat masing-masing.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 217 permohonan yang merangkumi 370 projek penyelenggaraan bagi skim-skim perumahan dengan kos kira-kira RM32 juta sejak TPM80PP diperkenalkan pada tahun 2013.

“Setakat hari ini, untuk penyelenggaraan perumahan awam sejak tahun 2008, kita (Kerajaan Negeri) telah berbelanja sebanyak RM174,618,000 iaitu hampir RM175 juta.

“Dan, kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), setakat ini kita telah membelanjakan RM21.7 juta untuk penyelenggaraan skim-skim perumahan.

“Ini, membawa kepada satu jumlah besar sebanyak RM228.3 juta yang telahpun kita (Kerajaan Negeri dan PBT) belanja untuk skim-skim perumahan awam, skim-skim perumahan swasta dan skim-skim perumahan di bawah PBT,” jelasnya.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau berharap agar TPPM yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan akan memperluaskan lagi program penyelenggaraan perumahan yang sebelum ini telah berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui TPM80PP.

Bercakap pada sidang media sama, Sheik Mujibu Rahman merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana menggantikan lif di taman perumahan berkenaan, dengan kos projek berjumlah RM243,360.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS