PANTAI JEREJAK – Penang Future Foundation (PFF) diwujudkan bukan sahaja untuk memberi peluang kepada penerima biasiswa bahkan melairkan pemimpin masa hadapan Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab modal insan, Kerajaan Negeri perlu mengiktiraf, memupuk dan membantu dalam mengeluarkan potensi sebenar para pelajar cemerlang.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri berharap pemain-pemain industri sudi tampil dan bermurah hati menyumbang dalam usaha menjadikan PFF sebagai satu program biasiswa mampan untuk pelajar yang berkelayakan.
“Bagi menjayakannya, program amal turut dirancang bagi meraih sumbangan daripada individu atau organisasi serta syarikat supaya lebih ramai pelajar memperoleh manfaat daripada program berkaitan,’’ ucapnya pada Majlis Makan Tengah Hari Meraikan Penerima PFF di sini tadi.
Hadir sama, Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan PFF iaitu Datuk Seri Nazir Ariff Munshir Ariff, Datuk Loo Lee Lian, Profesor Emeritus Datuk Dr. Lim Koon Ong, Dr. Lim Kim-Hwa dan Datuk Danny Goon.
Bercakap kepada pemberita, Lee Lian yang juga Ketua Pegawai Eksekutif investPenang memaklumkan bahawa program biasiswa PFF yang dimulakan sejak tahun 2015 telah memperuntukkan RM23 juta kepada 408 penerima daripada peruntukan RM40 juta secara keseluruhan.
Bagi tahun 2019, seramai 25 pelajar menerima Biasiswa Mutiara, manakala Biasiswa Penang (87)
Majlis makan tengah hari tersebut turut meraikan 61 penerima PFF yang telah menamatkan pengajian. Serentak itu, para penerima turut membuat pembentangan berbentuk video bertemakan Visi Penang2030 serta berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan PFF.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN