Pulau Pinang jadikan Mesir sebagai model pembangunan hartanah wakaf

whatsapp image 2025 02 26 at 16.07.57 (1)

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan menjadikan kejayaan pembangunan hartanah wakaf di Mesir sebagai model pembangunan tanah wakaf di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Wakaf Mesir untuk menjalankan kajian-kajian khusus mengenai pembangunan hartanah wakaf di Pulau Pinang.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam Majlis Muzakarah Khas Wakaf yang dihadiri Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr. Usamah As-Sayyid Mahmud Muhammad Al-Azhari yang berlangsung dekat Anjung Seri Mutiara, di sini.

Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut hadir pada majlis muzakarah khas tersebut.

whatsapp image 2025 02 26 at 16.07.57

“Dalam muzakarah ini, Syeikh (Dr. Usamah As-Sayyid Mahmud Muhammad Al-Azhari) telah membentangkan model pembangunan wakaf di Mesir yang boleh kita dipelajari, khususnya berkaitan tanah wakaf yang masih boleh dibangunkan di negeri ini.

“Umpamanya kita mempunyai dana berkaitan istibdal wakaf di bawah Wakaf MAINPP yang mana dengan dana ini kita akan membeli dan mengambil alih tanah-tanah bendang termasuk tanah dusun.

“Dengan mengambil model pembangunan wakaf di Mesir, kita bukan sahaja dapat membangunkan wakaf perumahan dan pendidikan tetapi turut memanfaatkan wakaf tanah bendang dan tanah dusun seperti yang dilakukan oleh nenek moyang kita pada suatu masa dahulu.

“Hasil yang diperoleh daripada tanah-tanah pertanian ini akan dapat dimanfaatkan oleh umat Islam di Pulau Pinang untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebentar tadi.

Mohamad berkata, kerajaan Mesir turut bersetuju untuk kmewujudkan satu kursi ‘endowment’ dinamakan sebagai Al-Azhar Endowment Chair Professor.

“Endowment akan diwujudkan dengan kerjasama kerajaan Mesir melalui MAINPP bagi membolehkan kajian dan perbincangan mengenai pembangunan wakaf khusus untuk negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, Pulau Pinang menjadi antara negeri perintis dalam pengurusan hartanah wakaf yang melibatkan bangunan komersial, premis kediaman dan tapak tanah wakaf.

Katanya, kerajaan negeri melihat wakaf sebagai instrumen strategik bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan institusi Islam seiring Agenda Pembangunan Agama Islam-Pulau Pinang 2030 (APAI2030).

“Pelbagai projek dan pembangunan hartanah wakaf telah dan sedang dilaksanakan bertujuan mengukuhkan pemilikan hartanah bumiputera serta memperluas akses kepada perumahan mampu milik dan kemudahan sosial.

“Model pembangunan wakaf Pulau Pinang telah dimulakan sejak dahulu sebagai contoh wakaf perumahan iaitu wakaf pembangunan Siti Aisyah I pada 2012 dan sekarang ini wakaf pembangunan Siti Aisyah II.

“Selain itu rancangan wakaf pendidikan iaitu pembangunan KITAB (Kolej Islam Teknologi Antarabangsa) Pulau Pinang sebagai Bandar Pintar Pendidikan di Bandar Cassia, Batu Kawan yang sedang dibangunkan di kawasan berkeluasan 17.3 ekar sebagai tanah wakaf Irsod atau tanah yang dianugerahkan oleh pemerintah,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI