Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – RM7.7 bilion pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh setengah tahun pertama 2017 merupakan di kedudukan paling tinggi berbanding negeri-negeri lain, dedah sumber Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, RM66,937.52 juta pelaburan ke negeri ini dalam tempoh tahun 2008 hingga Jun 2017 menyaksikan peningkatan kira-kira 82 peratus, berbanding rekod RM36,855.14 juta dalam tempoh sama 1998 hingga 2007 ketika Kerajaan Negeri masih dikuasai Barisan Nasional (BN) dulu.
“Sungguhpun negeri (Pulau Pinang) kedua paling kecil di Malaysia (selepas Perlis), kini nombor 1 dalam pelaburan di Malaysia,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo serta Exco Kebajikan, Masyarakat
Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.
Menurut Guan Eng, angka terbaru RM7.7 bilion pelaburan bagi setengah tahun pertama 2017 ke Pulau Pinang adalah menyamai kira-kira 45 peratus daripada RM17 bilion keseluruhan pelaburan di Malaysia dalam tempoh sama.
Tambahnya, pelaburan domestik ke Pulau Pinang dalam tempoh Januari hingga Jun 2017 direkodkan sebanyak RM1,488.86 juta, manakala pelaburan asing, RM6,218.76 juta.
Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa RM7.707.62 juta pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh setengah tahun pertama 2017 tersebut menyaksikan peningkatan hampir sekali ganda berbanding pelaburan keseluruhan dalam tempoh 12 bulan pada tahun 2016, iaitu berjumlah RM4.8 bilion sahaja.
“Menurut sumber MIDA, pelaburan keseluruhan ke Pulau Pinang dalam tempoh tahun 2008 hingga Jun 2017 direkodkan berjumlah RM66,937.52 juta.
“Angka RM66.9 bilion itu, menurut sumber, adalah lebih tinggi berbanding rekod Kerajaan Negeri pada era BN dahulu dalam tempoh tahun 2007 hingga 1998, RM36.9 bilion (RM36,855.14 juta),” jelasnya.
Selain itu, sumber MIDA juga mendedahkan sejumlah 132,422 peluang pekerjaan di Pulau Pinang dalam tempoh pelaburan sepanjang tahun 1998 hingga 2007.
Dalam tempoh pelaburan 2008 hingga 2016 pula, peluang pekerjaan yang wujud di negeri ini menyaksikan peningkatan kira-kira 5.1 peratus berbanding tempoh sebelumnya, dengan 139,133 peluang pekerjaan.