Pulau Pinang jangka terima masuk 2.4 juta kenderaan sempena Aidilfitri

Admin
img 8512 GAMBAR sekadar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan kira-kira 2.4 juta kenderaan masuk ke negeri Pulau Pinang sempena musim perayaan Aidilfitri pada kali ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Deputi Komosioner Polis Dato’ Mohamed Usof Jan Mohamad berkata bahawa seramai 302 pegawai dan anggota akan dikerahkan bagi mengekalkan ketenteraman awam serta melancarkan kesesakan trafik.

“Sempena musim perayaan Aidilfitri pada kali ini, ada tiga sasaran Ops Selamat iaitu meminimumkan kadar kemalangan, melancarkan kesesakan lalu lintas serta mencegah kejadian jenayah pecah rumah,” jelasnya dalam satu kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara di sini pada 9 April 2024.

Beliau berkata, Ops Selamat pada tahun 2023 merekodkan 677 kes kemalangan jalan raya termasuk dua kes maut, berbanding tahun sebelumnya (700 kes termasuk enam kes maut).

“Berbanding tahun lepas, Ops Selamat 2023 selama 20 hari dapat mengurangkan 23 kes kemalangan berbanding tahun sebelumnya.

“Dari segi jumlah kenderaan yang terlibat pula, sebanyak 900 kenderaan direkodkan sepanjang musim perayaan pada tahun 2022 berbanding 832 kenderaan pada tahun lalu… iaitu pengurangan sebanyak 68 kenderaan.

“Lapan kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2022 berbanding dua kematian pada tahun lepas, (sementara) bagi kedua-dua tahun, jumlah yang cedera parah bagi kedua-dua tahun masing-masing adalah sama iaitu tiga orang.

“Memandu laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan berkembar, potong barisan dan memandu semasa di bawah pengaruh alkohol merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya,’’ ujarmnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Usof Jan menyatakan bahawa sempena Ops Selamat 2024, beliau ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah serta patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mencegah kejadian kemalangan jalan raya.

“Rancang jadual perjalanan dengan baik untuk mengelak daripada memandu secara tergesa-gesa,” serunya.

Dalam pada itu, Mohamed Usof Jan turut mengingatkan semua pihak supaya mengunci rumah dengan rapi sekiranya bercuti dalam suatu tempoh masa yang panjang sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

“Tuan puan bolehlah memaklumkan kepada balai polis terdekat tentang ketiadaan penghuni di rumah masing-masing bagi memudahkan pihak polis menjalankan rondaan dan pemeriksaan secara berkala,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB