Pulau Pinang kekal nombor satu pengeluaran purata hasil padi dalam negara

Admin
img 20250313 wa0027

SUNGAI ACHEH – Pulau Pinang berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu selama enam tahun berturut-turut dari segi pengeluaran hasil padi dalam negara, dengan purata hasil sebanyak 4.86 tan per hektar pada tahun 2024.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pencapaian tersebut adalah hasil kerja keras para pesawah di samping bimbingan serta bantuan daripada Jabatan Pertanian Pulau Pinang.

“Sebagai Ketua Menteri, saya amat berbangga dengan hasil keringat para pesawah di Pulau Pinang yang sekali lagi meletakkan negeri ini pada kedudukan teratas dari segi pengeluaran purata hasil padi dalam negara.

“Saya percaya kira-kira 60 kursus dan latihan berkenaan tanaman padi yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Pulau Pinang pada tahun lepas telah menyumbang kepada peningkatan hasil padi,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar Rakyat Bersama Pesawah dekat Perkampungan PPK Sungai Acheh di sini sebentar tadi.

img 20250313 wa0025img 20250313 wa0015img 20250313 wa0029img 20250313 wa0023

Turut hadir, Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Dato’ Rashidi Zinol; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang, Fitrisubroto Yahmin dan Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Acheh, Fadzil Abdul.

Pada majlis itu juga, Kon Yeow berkesempatan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada pesawah-pesawah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa sebanyak RM5,683,500 telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada para pesawah di negeri ini pada tahun 2024.

“Menyedari kepentingan dan sumbangan para pesawah, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Pulau Pinang telah menyalurkan sebanyak RM4,933,500 dengan peruntukan tambahan berjumlah RM750,000 kepada pesawah pada tahun lepas,” katanya.

Pada masa sama, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga cakna mengenai kekurangan penglibatan generasi muda dalam industri pertanian padi di negeri ini.

“Hanya sejumlah 2.88 peratus atau bersamaan 144 petani di bawah 40 tahun disenaraikan sebagai peserta tanaman padi daripada jumlah keseluruhan peserta iaitu seramai 5,057 orang di negeri Pulau Pinang

“Dengan ini, saya berharap agar generasi muda sedar bahawa pertanian dan keselamatan makanan bukan lagi sekadar sektor yang menjalankan kerja-kerja dengan kaedah tradisional.

“Sebaliknya, kini sektor pertanian telah berkembang dengan pantas seperti penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI) serta teknik penanaman mesra iklim,” ujarnya.

Kon Yeow turut menzahirkan keyakinan bahawa generasi muda yang mempunyai kepakaran teknologi mampu memacu trasformasi penanaman dan meningkatkan hasil padi dalam negara.

“Dengan menggabungkan sains dan teknologi dalam pertanian padi, ia boleh meningkatkan hasil, mengurangkan pembaziran sumber dan menjadikan pertanian lebih mampan.

“Oleh itu, saya menyeru agar anak-anak muda supaya mempertimbangkan sektor ini sebagai salah satu industri kerjaya yang akan memberikan impak besar kepada keselamatan makanan dan pembangunan agroteknologi dalam negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bersedia untuk mempertimbang cadangan pembangunan sebuah kampung tersusun di Sungai Chenaam, di sini.

“Saya berharap agar pegawai daerah dan jabatan-jabatan yang berkaitan mengambil maklum mengenai cadangan YB Rashidi (Zinol) termasuk pembangunan kampung tersusun dalam merangka belanjawan pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum itu, Rashidi semasa berucap menyatakan bahawa terdapat seluas kira-kira tujuh ekar tanah di Sungai Chenaam yang sesuai untuk pembangunan projek kampung tersusun.

“Daripada hasil perbincangan dengan Ketua Menteri sebentar tadi, nampak agak positif kerana kita ada dana Bumiputera yang boleh dimanfaatkan untuk komuniti melalui projek ini.

“Selain itu, kita juga berhasrat untuk membangunkan lagi Kuala Haji Ibrahim sebagai kawasan ekopelancongan yang popular,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS