Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelaburan unggul dalam negara

GEORGE TOWN – Sebagai sebuah negeri pengeluar produk elektrik dan elektronik (E&E), Pulau Pinang menjadi antara lokasi hab pembuatan yang terkesan dengan pelaksanaan pelbagai sekatan akibat pandemik COVID-19.

 

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata kesan tersebut dapat dilihat dari segi kekurangan bekalan cip E&E yang mampu dikeluarkan di negeri ini.

 

“Pulau Pinang merupakan sebuah negeri rantaian bagi produk E&E sejak tahun 1972, namun masalah kekurangan cip mula dihadapi pada penghujung tahun 2019.

 

“Jadi sebagai antara negeri pengeluar yang terbesar, kebergantungan terhadap industri ini mula terjejas dan kritikal tetapi pada masa sama kita (Pulau Pinang) memerlukan pelabur.

 

“Namun Kerajaan Negeri bersyukur walaupun dalam tempoh sukar ini, kita masih menjadi destinasi pelaburan terunggul dalam negara,” ujar Abdul Halim ketika menerima kunjungan mesra deligasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Selangor ke Komtar di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) IJok, Dr. Idris Ahmad.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Halim memberitahu bahawa Pulau Pinang turut berdepan masalah kekurangan sumber manusia berkaitan sektor industri.

 

“Difahamkan terdapat 2,500 kekosongan peluang pekerjaan di sektor perkilangan yang mana jika tidak ditangani, ia boleh mencecah angka 5,000 dalam lima tahun akan datang.

 

“Kita mahu pelabur datang tetapi kita tidak mampu sediakan tenaga kerja, dan keadaan ini pasti akan meningkatkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja dari luar Pulau Pinang,” jelas beliau yang juga ADUN Batu Maung.

 

Tambahnya lagi, antara usaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah tersebut sejak 2010 adalah dengan memperkenalkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menyemai minat pelajar untuk menceburi sektor terbabit.

 

“Satu lagi perkara yang kita hadapi adalah untuk mengekalkan tenaga kerja berkepakaran dan mahir kerana ada yang lebih selesa bekerja luar Pulau Pinang dan negara-negara luar,” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : EXCO