SEBERANG JAYA- Pulau Pinang menyumbang RM1.18 bilion melalui sektor perikanan bagi negeri ini bagi tahun 2022 termasuk hasil akuakultur berjumlah RM681.2 juta (tertinggi dalam negara).
Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, dalam merancakkan lagi perkembangan tersebut, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM1 juta kepada Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang dalam merancakkan industri kerang di negeri ini.
“Dalam pada itu, penternakan kerang boleh membantu untuk mempelbagaikan sumber protein dan pengeluaran makanan di negeri ini, dan pada masa sama boleh dijadikan sebagai sumber protein alternatif bagi menggantikan ikan serta daging kepada para pengguna.
“Pengeluaran kerang di Pulau Pinang sehingga bulan September tahun ini adalah sebanyak 130.63 metrik tan dengan nilai pengeluaran (harga borong) dianggarkan sebanyak RM1.3 juta.
“Pada masa kini, terdapat seramai 141 peserta penternak kerang bagi Fasa 1 dengan keluasan 1,050 hektar di Seberang Perai, Pulau Pinang,” ujarnya pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Pulau Pinang & Ekspo Agro Buddies Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023 di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran; Pengarah Pertanian Negeri; Mohd. Muhaimin Ibrahim dan Rektor UiTM Pulau Pinang, Prof. Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali.
Dalam memperkasakan sektor pertanian, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6.93 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri bagi tujuan pembangunan sektor agromakanan meliputi 16 projek dan program pembangunan pertanian.
“Sebagaimana ditekankan di dalam pembentangan Belanjawan 2024, pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, TKPM Mayfield, Taman Agro Batu Kawan (Juru) dan Taman Pertanian (Agropark) Permatang Pauh merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu ke arah memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
“Penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian pada masa kini perlu diketengahkan, untuk itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan dua program, Program Petani Pelapis dan Program Tabung Usahawan Tani dalam memperkasakan peranan belia negeri ini dalam sektor pertanian di negeri ini.
“Sektor penanaman padi tidak ketinggalan apabila menjana hasil sebanyak RM190.8 juta pada 2022 dan lebih membanggakan, Pulau Pinang mengekalkan tempat pertama bagi pengeluaran pukal tahunan walaupun negeri kecil ini tidak bergelar sebagai ’negeri jelapang padi’, katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Kon Yeow yang juga Ahli Palimen Batu Kawan turut mengumumkan RM4.6 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan pengeluaran ternakan demi membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi di negeri ini.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING