Pulau Pinang kembali laksana fi hotel mulai 1 Julai

Admin

GEORGE TOWN – Mulai 1 Julai 2022 semua hotel berdaftar di Pulau Pinang akan melaksanakan kembali kutipan fi hotel.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata bahawa sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini Kerajaan Negeri telahpun melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu para penggiat industri pelancongan dan ekonomi kreatif termasuk pengecualian fi hotel bermula pada 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2022.

“Fi hotel ini bukan dikenakan ke atas para pengusaha hotel yang berdaftar, tetapi ke atas para pelancong yang menginap di kamar hotel mereka.

“Aktiviti pelancongan telah dirancakkan semula sejak pembukaan semula pintu sempadan negara mulai 1 April 2022 dan jumlah kedatangan pelancong ke negeri Pulau Pinang amat menggalakkan,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 22 Jun 2022.

Di samping itu, Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa fi hotel merupakan salah satu sumber pendapatan penting kepada Kerajaan Negeri bagi membantu aktiviti promosi dan pemasaran serta pembangunan sektor pelancongan.

Selain itu, beliau memberitahu kadar fi hotel yang akan kembali dilaksanakan mulai 1 Julai 2022 adalah mengikut kadar terdahulu iaitu RM3 per bilik/malam bagi hotel empat dan lima bintang, serta RM2 per bilik/malam bagi hotel tiga bintang dan ke bawah termasuk asrama, hotel bajet, hotel dan rumah tumpangan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Tony Goh; Pengerusi Pemilik Hotel Pulau Pinang (PHA), Dato’ Lim Mer Lee; wakil Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Andy Lau turut sertai sidang media ringkas tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN