Pulau Pinang komited bangun projek infrastruktur awam ikut keperluan belia – Exco

Admin
Acara tandatangan plak perasmian Pusat Belia Bertam disempurnakan oleh Soon Lip Chee di sini tadi.

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) komited untuk membangunkan projek-projek infrastruktur awam mengikut keperluan belia di negeri ini.

SOON Lip Chee (berdiri) menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata komitmen tersebut demi memastikan Kerajaan Negeri hari ini terus relevan dengan cita rasa rakyat terutama pengundi baharu serta pengundi muda berusia 18 tahun dan ke atas kelak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berkata demikian semasa merasmikan Pusat Belia Bertam dekat Pongsu Seribu di sini pada 16 April 2022.

“Pengundi berdaftar pada 9 Mei 2018 (Pilihan Raya Umum Ke-14, PRU14) seramai 18,378 orang, selepas SPPA (Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik) dibuat pada Disember 2021, ada pertambahan pengundi muda berusia 18 tahun dan pengundi baharu seramai 4,679 orang atau 30.01 peratus.

“Dengan pertambahan penduduk dan pengundi muda di Kawasan (Dewan Undangan Negeri, KADUN) Bertam ini serta persetujuan Kerajaan Negeri, kita mewujudkan Pusat Belia Bertam ini.

“Kita komited memberikan pelbagai platform seperti pusat belia ini untuk belia-belia tempatan membuat program ikut keperluan komuniti mereka,” jelasnya dalam majlis berkaitan.

ACARA pek bubur lambuk untuk komuniti setempat.

Difahamkan, Pusat Belia Bertam merupakan yang ketiga diwujudkan selepas kemudahan serupa dibina di Penaga dan Bagan Jermal.

Sebelum pada itu, Timbalan Pengurus Besar PYDC, Ng Hooi Ting berkata pihaknya turut mengalu-alukan lebih banyak pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk saling bekerjasama dengan PYDC bagi menganjurkan program berkaitan di pusat-pusat belia tersebut.

Sementara itu, Lay Hock Peng selaku Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri dalam ucapannya antara lain mempromosi Karnival Raya Aidilfitri 2022 yang akan dilangsungkan pada 7 hingga 12 Mei depan di KADUN Pinang Tunggal.

“Ini adalah produk ekopelancongan terbaru bagi Daerah SPU (Seberang Perai Utara) yang mana pada sebelah siang (mulai 10 pagi hingga 5 petang), 7 hingga 10 Mei, akan diadakan pameran kerjaya untuk (kumpulan sasar) dalam kalangan belia,” jelasnya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pongsu Seribu, Shahidan Said turut berucap pada majlis tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB