GEORGE TOWN – Industri nanoteknologi dijangka menjadi antara bidang yang perlu diberi perhatian terutama dalam memajukan ekonomi negara yang kian kompetitif.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, sejajar dengan perkembangan semasa itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia memberi komitmen dalam membantu memperkukuhkan pembangunan industri nanoteknologi di negeri ini.
“Tambahan pula, Pulau Pinang kini digelar ‘Silicon Valley of the East’ kerana pembangunan teknologi serta industri yang berkembang pesat di sini.
“Kawasan di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas menawarkan peluang keemasan kepada syarikat nanoteknologi dalam membangunkan produk yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada syarikat berkenaan tetapi juga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“(Dan) pada masa sama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga giat dalam pembangunan minda muda berteraskan inisiatif STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), pembangunan Penang Science Cluster, Tech Dome Penang dan Perpustakaan Digital Pulau Pinang.
“Semua inisiatif ini adalah untuk membimbing para belia yang akan menjadi perintis dan pemimpin negara pada masa hadapan menceburi bidang pembangunan teknologi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perasmian Persidangan Antarabangsa Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) Mengenai Sensor dan Nanoteknolgi 2019 di sini, semalam.
Turut berucap, Pengerusi Persidangan, Assoc. Prof. Ir. Dr. Mohd. Khairuddin Md. Arshad.
Difahamkan, persidangan dua hari itu merupakan anjuran IEEE Malaysia Section Sensors and Nanotechnology Joint Councils Chapter dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Mikroelektronik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Kejuruteraan Nano Elektronik dan Pusat Kecemerlangan Sensor Teknologi Termaju.
Persidangan yang menghimpunkan para penyelidik dan ahli akademik yang terdiri daripada latar belakang industri sensor dan nanoteknologi dari 25 negara seluruh dunia tersebut turut mengadakan pembentangan 70 kertas kerja teknikal.
Tujuan persidangan berkaitan adalah bagi memastikan industri nanoteknologi terus kekal dinamik dan lebih berstrategi dalam mendepani industri global.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : PENGANJUR