GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata agensi Kerajaan Negeri, Penang Global Tourism (PGT) turut mempromosikan sektor pelancongan luar bandar yang terdapat di Pulau Pinang sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh katanya, PGT telah memuatkan dua perkara iaitu The Other Side of The Island – Balik Pulau dan The Opposite Side of The Island – Seberang Perai di bawah kempen promosi produk pelancongan negeri yang dikenali sebagai Re-Experience Penang.
“Kempen (Re-Experience Penang) tersebut dipromosikan melalui jerayawara, media sosial serta bahan bercetak,” jelasnya semasa berucap dalam Sesi Penggulungan Exco bagi Ucapan Perasmian TYT Sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 22 November 2023.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu berkaitan yang dibangkitkan oleh ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.
Selain itu, Hong Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa PGT turut mempromosikan inap desa dan aktiviti luar bandar kepada pelancong dan pelajar domestik serta antarabangsa.
“(Sebagai contoh,) Penang International Food Festival 2023 turut dianjurkan di Bertam Vision Park, Kampung Terus Penanti, Batu Maung dan Batu Kawan.
“Selain itu, PGT juga menganjurkan acara-acara seperti Penang International Food Festival 2023 di pelbagai lokasi.
“Bagi tarikan ekopelancongan pula, beberapa lokasi boleh diprosmosikan seperti Taman Rimba Bukit Mertajam, Taman Negeri Bukit Panchor dan Hutan Pelajaran Air Itam Dalam,” jelasnya sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri komited merancakkan sektor pelancongan luar bandar melalui Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN