Pulau Pinang komited pulihara bangunan Masjid Jamek Benggali berusia 222 tahun

Admin
c8155ae0 9c6e 4503 bdc2 6a8f68b7b06f KETUA Menteri (tiga dari kiri) merakamkan gambar dengan para pemimpin komuniti umat Islam lokal di perkarangan hadapan Masjid Jamek Benggali, Lebuh Leith di sini pada 26 Mac 2025.

GEORGE TOWN – Masjid Jamek Benggali yang dibina sejak 1803 Masihi dan kini berusia kira-kira 222 tahun akan terus dipelihara dan dipulihara Kerajaan Negeri hari ini sebagai mercu tanda keharmonian agama serta kebudayaan lokal negeri khususnya di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu perkara itu semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Perpaduan anjuran pihak pentadbir masjid berkenaan di Lebuh Leith di sini pada 26 Mac 2025.

370d4abf 8f50 4abd 9fd6 a8f647b9c5ac
KETUA Menteri (berdiri, empat dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama-sama ahli jawatankuasa kariah Masjid Jamek Benggali, seusai majlis berbuka puasa di sini tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pada tahun lepas, Kerajaan Negeri menerima peruntukan khusus sebanyak RM25 untuk kerja-kerja memelihara dan memulihara bangunan warisan di negeri ini.

Daripada sumber peruntukan persekutuan tersebut, beliau memberitahu bahawa sejumlah peruntukan telahpun disalurkan untuk kerja-kerja pemelihara dan pemuliharaan Masjid Jamek Benggali termasuk menukar bumbung bangunan warisan tersebut.

“Masjid Jamek Benggali menjadi pusat ibadah bagi umat Islam (setempat) yang mana merupakan simbol keutuhan, keunikan dan keharmonian komuniti setempat di George Town khususnya (kawasan Parlimen) Tanjung ini.

“Pada tahun lepas, telah saya sentuh tentang kepentingan pemuliharaan warisan serta nilai sejarah yang penting (yang mana) Masjid (Jamek Benggali) ini adalah bangunan warisan yang kita banggakan.

“Tadi, Pengerusi Masjid ada mengumumkan terima sejumlah peruntukan (yang mana) sebenarnya adalah peruntukan Persekutuan di bawah kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan-bangunan warisan di Tapak Warisan Dunia (UNESCO George Town) ini, kita (Kerajaan Negeri) terima RM25 juta,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk memelihara dan memulihara bangunan masjid yang mempunyai nilai warisan serta budaya setempat, ketika isu perkauman dan sentimen agama masih berbahang di negeri-negeri tertentu belakangan ini.

c918a980 902f 424e 9941 48af64c28260
KETUA Menteri menerima sagu hati yang disampaikan oleh Dr. Omar Kadir (kanan).

Berucap sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Benggali, Dato’ Dr. Omar Kadir merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana menyalurkan sejumlah RM180,000 untuk kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan struktur bangunan masjid tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Tanjung, Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan kerana menyalurkan sejumlah RM100,000 untuk membiayai kos menukar ganti bumbung masjid tersebut.

Selain wakil Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tanjung, hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Benggali, Zainol Azeez Deen dan Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD