Pulau Pinang komited sertai ‘konsortium’, Ketua Menteri beritahu ASM

Admin
d39a00dd 5610 4c22 97ce 474693da9ab9 KETUA Menteri (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata tanda kenang-kenangan kepada Mohd. Azzman Shariffadeen (empat dari kiri) seusai kunjungan hormat beberapa anggota Akademi Sains Malaysia (ASM) ke pejabatnya di Komtar pada 12 Julai 2024

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik saranan Akademi Sains Malaysia (ASM) supaya Pulau Pinang memberi tumpuan kepada sektor pembungkusan canggih dan peralatan pembuatan, yang mana sekali gus meningkatkan kembali minat bakat muda untuk melanjutkan pengajian bidang sains peringkat universiti tempatan.

5f8c55e0 371b 4b79 83fc bca6c2c30c14
MOHD. Azzman Shariffadeen

Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan memberitahu perkara itu selepas mengikuti taklimat ringkas daripada Presiden ASM, Datuk Dr. Mohd. Azzman Shariffadeen dan Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Hazami Habib bersempena kunjungan hormat delgasi berkaitan di sini pada 12 Julai 2024.

726607a8 9990 4b68 b1a5 268a496b0b45
HAZAMI Habib

Hazami memberitahu Kon Yeow bahawa ASM berkongsi kebimbangan apabila mendapati peratusan mahasiswa dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Palau Pinang pada tahun 2021 adalah 49.25 peratus, menguncup pada angka 35.5 peratus pada tahun 2022.

Mengulas perkara tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa usaha bersepadu peringkat kebangsaan diperlukan, sebagaimana dibentangkan oleh ASM pada pagi ini.

“Sepanjang tempoh dua atau tiga tahun belakangan ini, memang isu kekurangan bakat muncul dalam perbincangan… (berdasarkan) statistik pun amat membimbangkan, penurunan (peratusan) pelajar-pelajar yang minat dalam mata pelajaran sains.

“Jadi, perlu satu agenda kebangsaan untuk menangani isu ini, bukan sekadar negeri ini boleh berusaha (atas kapasiti negeri semata-mata).

“Perlu ada suatu agenda nasional untuk lihat bagaimana kita (negara) boleh menambah bilangan pelajar dalam bidang sains.

“(Sehubungan itu,) kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mahu menjadi sebahagian ‘konsortium’ yang sedang ASM usahakan iaitu rakan strategik dalam (sektor) ‘advanced packaging’ yang mana ketika kini kita (industri negeri) ada kekuatan kukuh dan bagaimana untuk ditingkatkan lagi nilai tambah dalam sektor sedia ada,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

8c334434 8532 48bf 9b41 18b21228d6cf
KETUA Menteri

Dalam tempoh perbincangan berkaitan, Kon Yeow turut diberi taklimat berhubung rancangan ASM mewujudkan konsortium bersepadu yang melibatkan empat pemegang taruh utama iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, ahli akademik universiti dan penggerak industri swasta.

Sementara itu, ‘konsortium’ yang diwujudkan oleh ASM ini antara lain memainkan peranan dalam membentuk trajektori sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) yang berorientasikan misi bersama.

Felo ASM merangkap ahli akademi wilayah utara, Profesor Dato’ Seri Dr. Aileen Tan Shau Hwai; Ketua Pegawai Strategi ASM, Nitia Samuel; Penganalisa Kanan merangkap Pegawai Khas kepada Presiden ASM, Norazwa Musiran; Penganalisa Kanan Bahagian Pengajian Strategik Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Analitik dan Perkongsian ASM, Loh Chia Hur turut sertai kunjungan hormat tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT