Pulau Pinang laksana fasa 2 projek rumah awam Wakaf Setee Aishah, termasuk bekalkan 101 rumah kos rendah

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 18 Ogos 2019 memulakan projek perumahan fasa kedua Taman Wakaf Setee Aishah dekat Seberang Jaya, dengan anggaran kos RM186 juta.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr. Mujahid Yusoff Rasa telah melancarkan projek pemajuan dengan usahasama (JV) syarikat pemaju UDA Holdings Berhad (UDA).

“UDA telah dilantik untuk memajukan Taman Wakaf Setee Aishah (Fasa 2) di atas Lot 200, 252 & 3117 (tanah Wakaf Setee Aishah), Seberang Jaya, Mukim 4, Seberang Perai Tengah (SPT) seluas 7.32 ekar.

“Pelan Tatasusunan Projek dengan cadangan 384 unit pangsapuri 10 tingkat, Rumah Pangsa Kos Rendah (101 unit), kedai (13 unit), ruang pejabat (20 unit), sebuah surau dan dewan serbaguna telah disediakan oleh pihak UDA,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal semasa Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang sebentar tadi.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri menerusi MAINPP akan terus melihat potensi baru dalam pembangunan wakaf ini seperti menggunakan konsep Wakaf Al Isthismar iaitu wakaf pelaburan seperti yang dilakukan di Selatan Thailand dan Wakaf Ardhul Mawat iaitu wakaf menghidupkan tanah terbengkalai atau tidak diusahakan.

“Usaha pembangunan wakaf ini juga akan terus dioptimumkan dengan penggunakan teknologi terkini seperti ‘blockchain’ yang membolehkan sebuah lejar digital mengandungi urus niaga dikongsi dan diedarkan tanpa bergantung kepada badan pusat.

“Insya-Allah dengan bantuan semua pihak termasuk pakar dan ahli akademik, akan mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai Hab Wakaf Antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin turut memberitahu bahawa MAINPP juga akan membangunkan projek di atas Lot 1396 & 1606 (Wakaf Sheikh Eusoff), Seksyen 5, Jalan Air Itam dekat Daerah Timur Laut (DTL).

“Pembangunan ini merangkumi 391 unit pangsapuri kos sederhana rendah, pangsapuri kos sederhana (1,305 unit), kedai (14 unit), pejabat (56 unit), pusat penjaja (66 unit), surau, dewan dan rumah anak yatim.

“Projek ini dijangka bernilai RM150 Juta dan pembangunan wakaf ini juga tidak akan sama sekali mengetepikan golongan kurang berkemampuan,” jelasnya.

Tambah beliau, MAINPP akan melaksanakan cadangan pembinaan di atas Lot 496, Mukim 4, Bagan Lalang dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) iaitu bangunan rumah kedai yang dijangka mampu memberikan pulangan sekurang-kurangnya sebanyak RM25 Juta serta cadangan pembangunan 400 unit rumah di atas Lot 208, Seksyen 2, Butterworth ,” jelasnya lagi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: LAW SUUN TING