Pulau Pinang laksana PKPP sepenuhnya bermula esok – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepenuhnya bermula esok, 10 Jun 2020 bagi sektor-sektor perniagaan dan ekonomi di seluruh negeri sejajar pengumuman yang dibuat Kerajaan Pusat.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada ucapan siaran langsung menerusi Facebook peribadi beliau sejurus mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) pagi tadi.

Menurut beliau, antara intipati lain yang turut dipersetujui adalah lain-lain sektor yang berada di dalam senarai kategori dilarang sebelum ini akan dibuka secara berfasa tertakluk kepada pengumuman yang bakal dibuat oleh Kerajaan Pusat dari semasa ke semasa.

“JKKN akan mengetuai Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Negeri berhubung pelaksanaan tujuh Teras Strategi PKPP serta Fasa Normalisasi yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru-baru ini dan akan dilaksanakan di peringkat negeri secara terselaras serta bersepadu.

“Tujuh strategi berkenaan adalah meliputi, kumpulan kerja pengukuhan kesihatan awam; pengukuhan kawalan sempadan; pemerkasaan tanggungjawab komuniti; pembudayaan kebiasaan baharu; perundangan dan penguatkuasaan; pembukaan sektor ekonomi dan perlindungan golongan berisiko,” ujarnya di sini sambil menyeru agar rakyat Pulau Pinang terus berdisplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa mengamalkan amalan 4P iaitu penjarakan sosial, pakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sabun dan perhatikan gejala COVID-19 pada diri sendiri dan orang sekeliling.

Dalam ucapan siaran langsung tersebut, Kon Yeow yang juga Pengerusi Mesyuarat JKKN Pulau Pinang turut menolak dakwaan tidak berasas oleh Menteri Kanan Pertahanan bahawa Pulau Pinang menolak pematuhan PKPP.

Menurut beliau, apa yang dipraktik serta dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah atau tidak sama sekali melanggari akta atau undang-undang yang diperuntukan oleh Kerajaan Pusat.

“Melalui kenyataan media saya pada 7 Jun 2020, jam 7.13 petang kepada pihak media jelas menyatakan bahawa Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP sebagaimana diumumkan Perdana Menteri.

“Ia adalah sejajar dengan usaha untuk mencapai keseimbangan antara kesihatan awam dengan kehidupan rakyat, pembukaan secara berperingkat sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan serta keagamaan ke arah mencapai normalisasi pasca COVID-19.

“Menerusi kenyataan tersebut juga telah dinyatakan bahawa mesyuarat JKKN yang berlangsung hari ini akan meneliti pelaksanaan PKPP di Pulau Pinang, yang mana keputusannya akan diumumkan pada hari yang sama untuk rujukan lanjut semua pihak di negeri ini,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyuarakan keyakinan beliau bahawa Pulau Pinang masih berada di landasan ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Setakat ini, perindustrian di Pulau Pinang beransur kembali normal walaupun kita perlukan tempoh masa untuk mengembalikan pencapaian ekonomi yang lebih baik.

“Meskipun kadar pengangguran kebangsaan meningkat daripada 3.3 peratus pada Februari 2020 kepada 3.9 peratus (Mac 2020), namun pasaran kerja di Pulau Pinang masih lagi kukuh dan memerlukan pekerja dalam pelbagai bidang industri yang mana Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan bahawa negeri mampu menawarkan 18,886 peluang pekerjaan bernilai tinggi hasil daripada pelaburan yang direalisasikan tahun ini.

“Manakala, bagi sektor pelancongan pula, Kerajaan Negeri yakin melalui Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan, Pulau Pinang akan bangkit semula sebagai lokasi pelancongan popular… konsep Pelancongan Bertanggungjawab (Responsible Tourism) akan diserapkan dalam pelan tindakan ini bagi memastikan kelangsungan sektor berkenaan,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN