GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memulakan langkah awal dengan melancarkan Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif sebagai garis panduan dalam menggalakkan rakyat negeri ini khasnya warga emas untuk melibatkan diri secara aktif dan menyumbang kepada pembangunan keluarga dan masyarakat.
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng memberitahu bahawa berdasarkan unjuran data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, negara akan mencapai status ‘negara tua’ atau ‘aged nation’ menjelang tahun 2030 apabila dijangka 15.3 peratus daripada populasi rakyat adalah berusia 60 tahun dan ke atas.
“Negeri Pulau Pinang pada masa ini berada pada tangga kedua di belakang Perak sebagai ‘negeri tua’ (mempunyai jumlah populasi dalam kalangan warga emas yang ramai).
Data sama menunjukkan pada tahun 2040, rakyat Pulau Pinang berusia 60 tahun dan ke atas akan meningkat kepada 26.2 peratus dan berada pada tangga teratas (sebagai negeri yang mempunyai jumlah warga emas yang ramai).
“Oleh yang demikian, sebagai persiapan awal menghadapi perubahan ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Hala Tuju Penuaan Aktif dan Jelajah Santuni Warga Emas sempena Sambutan Hari Warga Emas 2022 di Komtar pada 30 September 2022.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Senator Fadhlina Sidek.
Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Pembangunan), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Muhamad Husni Mahmud; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn. Bhd., Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengerusi Rose Charities Malaysia (Pulau Pinang), Datuk Lawrance Cheah antara yang turut hadir memeriahkan majlis berkaitan.
Mengulas lanjut, Chong Eng memaklumkan bahawa pelan hala tuju ini terbahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Kesedaran; Fasa Integrasi dan Fasa Kemampanan.
Pelan hala tuju ini memerlukan penglibatan semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik untuk sama-sama mempromosikan inisiatif penuaan aktif ini pada peringkat akar umbi.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Malaysia Healthy Aging Society (MHAS) untuk mendapatkan data bagi memahami jurang yang dihadapi oleh golongan ini.
Pengintegrasian penuaan aktif dalam kalangan komuniti pula akan lebih menumpukan terhadap penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) atau pusat aktiviti demi manfaat warga emas selain menggalakkan penyertaan masyarakat secara sukarela untuk menyantuni warga emas dalam komuniti setempat.
“(Dan) fasa terakhir adalah menyediakan persekitaran mampan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai Bandar Mesra Warga Tua sekali gus membolehkan pencapaian yang lebih terangkum,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif penuaan aktif ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika berucap menyempurnakan pelancaran pelan hala tuju tersebut menyatakan bahawa Pulau Pinang menjadi negeri pertama bersedia menghadapi ‘negeri tua’.
Saya yakin pelan hala tuju ini akan membuka ruang dan menyediakan peluang sewajarnya kepada setiap golongan tidak hanya warga tua untuk terus menjalani kehidupan yang aktif menjelang usia penuaan.
“Inisiatif ini juga selaras dengan Visi Penang2030 ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang mesra keluarga, oleh itu ambillah peluang terutama Pejabat-Pejabat ADUN, agensi kerajaan, swasta dan mereka yang terlibat membantu Kerajaan Negeri mewar-warkan inisiatif ini.
“Malah, ambil bahagian dalam siri jelajah (Jelajah Santuni Warga Emas) yang bakal digerakkan di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) mulai pada Oktober ini sempena Sambutan Hari Warga Emas 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang,” serunya.
Membawa tema Penuaan Aktif Untuk Semua, Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif Negeri Pulau Pinang antara lain bertujuan membangunkan komuniti dan membentuk persekitaran mampan dengan menumpukan beberapa teras utama seperti kesihatan, penyertaan masyarakat dan keselamatan bagi meningkatkan kualiti hidup seiring dengan peningkatan usia individu.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT