GEORGE TOWN – Mungkin pertama di Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan pada tengah hari tadi menyerahkan watikah pelantikan ‘First Support Point’ kepada 29 wakil Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi menangani serta membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.
Menerusi acara telesidang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa berucap antara lain berkata bahawa dengan adanya sistem sokongan yang lebih sistematik itu adalah diharapkan ia terus memberi perlindungan serta membasmi perilaku tidak sihat, sekaligus mewujudkan persekitaran keluarga serta masyarakat yang lebih harmoni.
“Kerajaan Negeri telah mewujudkan ‘First Support Point’ iaitu usaha triparte antara pihak Kerajaan, komuniti akar umbi dan NGO.
“Peranan ‘First Support Point’ adalah untuk menyalurkan kes-kes keganasan rumah tangga kepada agensi yang bersesuaian secara sistematik,” jelasnya sebelum menyempurnakan gimik penyampaian watikah inisiatif berkenaan di sini pada 20 Februari 2021.
Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Selain Islam, Chong Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.
Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Pulau Pinang sekitar bulan Oktober 2020 sekali lagi mendahului negeri-negeri lain dengan memperkenalkan Dasar Keluarga Selamat, ekoran peningkatan kes keganasan rumah tangga yang terjadi sejak pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun sama.
“Contohnya, panggilan hotline kepada Pusat Kesedaran Wanita (WCC) telah meningkat sebanyak 267 peratus dari minggu pertama ke minggu kedua PKP.
“Menurut laporan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada April 2020, terdapat 343 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Pulau Pinang, berbanding 226 kes (dalam tempoh sama) pada tahun 2019,” ujarnya lagi yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan atas kejayaan penganjuran Bengkel Dasar Keluarga Selamat pada tahun lepas demi melatih ejen ‘First Support Point’ dalam kalangan pegawai kerajaan, pegawai seranta serta wakil NGO.
Dengan sempurnanya acara penyampaian watikah ‘First Support Point’ secara dalam talian, sekaligus merealisasikan salah satu Visi Penang2030 iaitu Kerajaan Negeri bertekad untuk membina suatu ekosistem yang selamat untuk semua anggota keluarga di negeri ini melalui suatu sistem khidmat sokongan di peringkat akar umbi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI