Pulau Pinang lulus cadangan minimum 30% wanita di peringkat Ahli Majlis dan Ahli Lembaga GLC

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan cadangan untuk melantik sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

Bagaimanapun, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata bahawa pelantikan tersebut masih tertakluk kepada kelayakan dan kesesuaian calon yang dipertimbangkan.

Katanya lagi, cadangan tersebut adalah sejajar dengan Dasar Keterangkuman Gender (DKG) diguna pakai Kerajaan Negeri sejak Mac 2019 yang bermatlamat untuk mewujudkan keseimbangan gender di setiap peringkat khususnya peringkat pembuat keputusan.

“Satu daripada strategi pelaksanaan DKG adalah dalam Pengurusan Seimbang Gender iaitu untuk mencapai nisbah 40:40:20 menjelang tahun 2030 yang bermaksud 40 peratus wanita, 40 peratus lelaki dan 20 peratus terbuka kepada lelaki dan wanita.

“Maka, 30 peratus perwakilan ini adalah tindakan positif ke arah mencapai sasaran tersebut,” katanya pada sidang media dekat Komtar, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta Senator, Lim Hui Ying.

Chong Eng serta barisan tetamu jemputan khas menyatakan sokongan terhadap cadangan minimum 30 peratus lantikan wanita di peringkat Ahli Malis dan Ahli Lembaga Pengarah GLC pada sidang media dekat Komtar.

Tambah Chong Eng, sasaran pelantikan minimum 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan juga selaras dengan visi Penang2030 yang menggalakkan dan memperkasakan penglibatan rakyat dalam pembangunan negeri Pulau Pinang.

“Cadangan ini juga sebagai memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan 2018 untuk mewujudkan lebih ramai pemimpin wanita serta meningkatkan penglibatan wanita dalam politik.

“Justeru, pelantikan Ahli Majlis PBT dan ahli lembaga pengarah GLC dikenal pasti sebagai platform terbaik untuk meningkatkan perwakilan wanita supaya suara dan keperluan golongan ini dapat dibawa ke peringkat pembuat keputusan,” ujarnya lagi yang juga ADUN Padang Lalang.

Chong Eng berkata, kekurangan perwakilan wanita dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang contohnya telah menyebabkan beberapa isu berkaitan kepentingan wanita gagal dibangkitkan.

Menjawab soalan pemberita, Chong Eng berharap agar Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini lebih memberi tumpuan khusus kepada pembangunan wanita dan keluarga di negara ini.

“Kementerian (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) pada hari ini dilihat kurang mengadakan program berkaitan pembangunan wanita sebaliknya lebih tertumpu kepada program kebajikan.

“Jadi saya harap pihak kementerian dapat meningkatkan program pembangunan dan pemberdayaan wanita seperti menangani keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan sebagainya dengan memberikan sokongan kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Oleh itu, peruntukan untuk menangani isu-isu seperti ini perlu disalurkan oleh pihak kerajaan supaya satu makanisme jelas dapat diwujudkan.

“Kerajaan Pusat boleh menggunakan contoh Dasar Keluarga Selamat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mewujudkan ‘First Support Point’ di kaunter-kaunter kerajaan.

“Dengan adanya ‘First Support Point’ ini membolehkan mangsa-mangsa keganasan berani tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan.

“Usaha ini tidak menelan kos yang tinggi sebaliknya hanya memerlukan latihan kepada kakitangan yang ada selain menggunakan kaunter-kaunter kerajaan sedia ada,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN