Pulau Pinang lulus RM3 juta laksana saringan COVID-19 besar-besaran

Admin

DATUK KERAMAT – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) semalam meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta untuk pelaksanaan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran ke atas penduduk Pulau Pinang bagi membolehkan pengesanan awal seterusnya membendung perebakan virus.

 

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, melalui pelaksanaan tersebut, seramai 1,000 orang akan dipilih secara bersasar bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

 

“Kita ada 40 KADUN, jadi kira-kira 40,000 orang akan dipilih bagi fasa pertama.

 

“Kaedah (ujian saringan) sedang diperincikan oleh Bahagian Kerajan Tempatan dan berharap ia dapat diselesaikan dalam masa dua minggu supaya kita boleh melaksanakannya selepas Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) kini.

 

“(Dan) paling penting adalah menetapkan kaedah kelayakan, yang mana akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

 

“Saya harap ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen dapat memberi kerjasama kerana mereka lebih arif tentang kumpulan sasaran yang dipilih,” ujar Jagdeep ketika melakukan lawatan mengejut bagi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Taman Free School, dekat sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Mohd. Rizwan Rozi; Pengarah Bahagian Pelesenan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaludin dan Ketua Polis bagi Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong.

 

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep menyatakan bahawa barisan Exco Kerajaan Negeri akan menyumbang satu bulan gaji ke tabung COVID-19 sama seperti tahun lalu.

 

 

“Saya juga telah mohon kerjasama Ahli-ahli Majlis MBPP serta MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) untuk sama-sama menyumbang dan masih menunggu respons.

 

 

“Tahun lepas setelah Exco setuju, Ahli-ahli Majlis turut beri sedikit sumbangan elaun mereka, elaun mereka tidak banyak tetapi kerja begitu banyak, kita faham,” katanya yang juga ADUN Datuk Keramat.

 

Sementara itu, Soffian ketika bercakap kepada pemberita menyatakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang sudah mengeluarkan 16 kompaun sejak FMCO dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

 

 

“Ini menunjukkan masih ada lagi dalam kalangan masyarakat kita masih alpa dan lalai mematuhi SOP.

 

 

“Kesempatan ini saya nak nasihatkan, janganlah patuh SOP semata-mata takutkan polis dan penguat kuasa, tetapi patuhi SOP demi keselamatan diri.

 

 

“Jangan apabila nampak polis ronda kita patuh SOP, pakai pelitup muka, imbas MySejahtera, tetapi apabila tidak ada polis, penguat kuasa ronda kita alpa, ini semua demi keselamatan dan kesihatan diri,” tegas Soffian.

 

 

Soffian turut mengingatkan SOP baharu FMCO iaitu pergerakan tidak lebih radius 10 kilometer (km) serta penambahan dua sekatan jalan raya dekat Timur Laut secara mobil.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI