Pulau Pinang maju industri halal

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Penganjuran tahun kelima Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) 2014 yang berlangsung baru-baru ini dilihat sebagai satu kejayaan bagi industri halal terutamanya buat Pulau Pinang apabila mendapat lebih 250 penyertaan pempamer dari segenap negeri hingga ke peringkat antarabangsa di sini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang juga merangkap Pengerusi Halal Penang berkata, PIHEC adalah satu platform untuk usahawan halal memasar dan mempamerkan produk dan perkhidmatan halal masing-masing di bawah satu bumbung.

“Dengan lebih 250 pempamer yang terdiri daripada pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa, PIHEC berjaya menarik pembeli, orang ramai dan pelancong untuk datang ke Pulau Pinang saban tahun sejak penganjurannya.

“Malah, PIHEC terus melebarkan sayapnya apabila bilangan penyertaan usahawan halal antarabangsa kian bertambah tiap tahun.

“Pada tahun ini, terdapat beberapa negara besar turut menyertai kita seperti United Kingdom, Algeria, Belgium, Netherlands, Morocco, Arab Saudi dan Pakistan selain daripada negara jiran iaitu Thailand,” ucapnya pada Majlis Perasmian PIHEC 2014 di Subterranean Penang International Convention and Exhibition (sPICE) atau lebih dikenali sebagai PISA di sini baru-baru ini.

Hadir sama merasmikan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, barisan Exco Kerajaan Negeri dan delegasi-delegasi antarabangsa.

Selain ekspo, turut dianjurkan pertandingan masakan chef halal dan perasmian kalender ‘Panduan Perjalanan Muslim, Terokai Pulau Pinang’ edisi kedua.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Pulau Pinang telah berkembang dan berjaya menarik pelabur dan usahawan halal.

“Pulau Pinang telah maju dalam industri halal, malah, telah wujud tapak industri halal yang pertama negara di sini.

“Kita dah berjaya menarik pelabur di taman perindustrian halal dengan modal pelaburan meningkat kepada 480 juta dan ini adalah bukti bahawa segmen industri halal berkembang pesat di sini,” ujarnya.