TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tekad dalam memastikan kualiti air laut dan sungai di negeri ini sentiasa bersih dan terpelihara agar bebas daripada ancaman obor-obor.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif dalam memperkenalkan pelbagai program pemeliharaan kualiti air di negeri ini.
“Di Pulau Pinang, hakikatnya banyak program-program pemeliharaan kualiti air dilaksanakan dan ia tidak terhad kepada sungai seperti di Sungai Pinang, tetapi juga di laut.
“Program-program ini penting dalam menangani ancaman obor-obor yang bukan sahaja ada di perairan Pulau Pinang, malah turut mengancam perairan dari Phuket, Thailand sehingga ke bahagian selatan Indonesia.
“(Dan) program-program ini juga penting untuk memastikan bahawa kita (Pulau Pinang) mampu menjadi negeri perintis yang berjaya menangani ancaman obor-obor di perairan negeri ini,” ucapnya pada majlis perasmian Seminar ‘The Emerging Jellyfish Threat’ dekat sini pagi tadi.
Turut sama berucap, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.
Dalam pada itu, Jagdeep berkata, selain memperkenalkan pelbagai program pemeliharaan kualiti air, Kerajaan Negeri dengan kerjasama badan berwajib juga memastikan bahawa sebarang pemajuan yang dilakukan di pesisir pantai turut dikawal.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan memastikan para pemaju tidak sesuka hati membuang segala sisa binaan ke dalam laut ataupun saluran air yang mengalir ke laut dan sungai.
“Malah, difahamkan juga, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang juga banyak mengadakan aktiviti pembersihan laut di sini.
“Begitu juga pihak perhotelan di sepanjang pesisir pantai di negeri ini turut membantu Kerajaan Negeri dalam memastikan tahap kualiti air terjamin dan bersih.
“Hal ini penting, kerana obor-obor hanya tertarik apabila keadaan air laut tidak dijaga rapi dan kotor,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut menzahirkan penghargaan kepada Pusat Pengajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia dan MBPP kerana mengambil pendekatan untuk mengadakan Seminar ‘The Emerging Jellyfish Threat’ yang mengumpulkan para petugas MBPP, pengusaha hotel serta pengusaha aktiviti pantai di negeri ini.
“Saya yakin serta percaya dengan adanya seminar sebegini, ia dapat memberikan manfaat kepada semua termasuk mempelajari kaedah rawatan yang betul kepada mangsa sengatan obor-obor dan pemasangan penapis obor-obor.
“Malah, saya difahamkan ada dalam kalangan petugas yang hadir pada hari ini turut akan terlibat sama dalam penganjuran acara pantai Asia Pasific Masters Games (APMG) iaitu Penang Cross Channel Torch Swim dan juga penganjuran ‘4th Penang International Cross Channel Swim 2018‘ dari Bagan Ajam di Seberang (Perai) ke bahagian pulau.
“Jadi, ambil kesempatan dalam seminar pagi ini untuk menimba seberapa banyak pengetahuan bagi memastikan keselamatan pengunjung dan pelancong terjamin,” katanya yang turut menyarankan agar langkah berjaga-jaga perlu diambil meskipun kes sengatan obor-obor amat jarang berlaku di negeri ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALVIE CHENG