Pulau Pinang mohon peruntukan khas RM100 juta dari Pusat laksana projek pembangunan negeri

Admin
whatsapp image 2024 05 30 at 15.59.05

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengemukakan permohonan khas ‘tambahan’ berjumlah RM100 juta kepada Kementerian Kewangan bagi membiayai pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan perkara itu ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

“Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan khas kepada Kementerian Kewangan berjumlah RM100 juta pada bulan Februari 2024.

“Peruntukan khas ini adalah bagi membiayai pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat di negeri ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri turut berharap 93 projek dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.7 bilion yang dimohon di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri terus berharap khabar gembira daripada Kerajaan Persekutuan terhadap permohonan 93 projek dengan anggaran kos RM17.7 bilion dan peruntukan yang diperlukan oleh negeri Pulau Pinang untuk tahun 2025 adalah berjumlah RM2.8 bilion di bawah RMKe-12,” katanya.

Menjawab dakwaan ADUN Permatang Berangan, Mohd. Sobri Saleh berkenaan pengagihan peruntukan lebih adil, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM60,000 setahun bagi pelaksanaan projek pembangunan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Peruntukan yang diberikan adalah dengan mengambil kira kedudukan semasa kewangan negeri.

“Selain itu, semua program yang berorientasikan kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang seperti Program i-Sejahtera, pengangkutan awam termasuk bas percuma CAT dan program-program di bawah Jawatankuasa MMK Negeri, mahupun yang dilaksanakan oleh anak-anak syarikat dan Badan Berkanun Negeri dilaksanakan secara menyeluruh tanpa membezakan kawasan Kerajaan atau pembangkang.

“Kerajaan Negeri juga tidak pernah membezakan kawasan mengikut parti politik dalam melaksanakan projek-projek pembangunan berskala kecil, sederhana dan berimpak tinggi yang melibatkan peruntukan negeri kerana projek-projek tersebut dilaksanakan demi kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Jadi tidak timbul lagi isu bahawa Kerajaan Negeri tidak memberikan peruntukan yang sepatutnya kepada ADUN pembangkang,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI