PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon supaya Kerajaan Persekutuan turut sama-sama memberikan perhatian dan bantuan terhadap isu penyelenggaraan membabitkan pelbagai skim perumahan di negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung kos penyelenggaraan di skim perumahan awam dan swasta di negeri ini berjumlah RM134.76 juta untuk tahun 2022.
“Tahun 2020, kita (Pulau Pinang) menerima peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM32 juta dan tahun lalu sebanyak RM15 juta.
“(Dan) untuk tahun ini, kita telah memohon lebih RM100 juta melalui permohonan rasmi serta turut menyenaraikan perincian projek yang diperlukan,” ujarnya yang berharap dapat meneruskan kerjasama baik dengan KPKT dalam tahun baru ini.
Jagdeep berkata demikian pada sidang media di Taman Lone Pine Kondominium dekat sini bagi mengumumkan projek penaiktarafan dua unit lif yang telah siap beroperasi sejak November 2021.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong yang juga Exco Pelancongan & Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ketua Pegawai Operasi (Sektor Operasi), Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan wakil penduduk di Taman Lone Pine Kondominium, Chong Soon Kheng.
Menurut Jagdeep, selain pembekalan rumah mampu milik, Kerajaan Negeri juga sentiasa memastikan skim-skim perumahan yang layak menerima peruntukan penyelenggaraan.
Setakat ini (hingga 31 Disember 2021) sejumlah RM292.33 juta telah disalurkan melalui empat tabung bantuan penyelenggaraan sedia ada di bawah Kerajaan Negeri.
“Jumlah tersebut melibatkan 497 projek penyelenggaraan di kelima-lima daerah di negeri ini yang mana majoriti melibatkan kerja-kerja penggantian dan pembaharuan lif serta tangki air.
“(Dan) pagi ini, kita di Taman Lone Pine Kondominium adalah bagi memaklumkan penyempurnaan kerja-kerja menaik taraf dua unit lif di sini yang menelan kos keseluruhan RM118,400.
“Di sini (Taman Lone Pine Kondominium), Kerajaan Negeri membiayai 80 peratus daripada kos keseluruhan iaitu RM94,720 dan baki 20 peratus (RM23,680) ditanggung oleh penduduk di sini melalui pihak Perbadanan Pengurusan,” jelasnya.
Difahamkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai empat tabung penyelenggaraan iaitu melibatkan skim perumahan awam; skim perumahan di bawah pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) untuk skim perumahan swasta layak.
Dalam sidang media sama, Jagdeep turut mengingatkan semua Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) dan Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC) di negeri supaya berusaha memastikan kutipan penyelenggaraan dibiayai penduduk bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan harta bersama, pembersihan dan pengindahan dapat dilaksanakan sebaiknya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING