GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggesa Menteri Besar (MB) Kedah supaya berhenti mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan mengenai kedaulatan negeri Pulau Pinang.
Beliau menegaskan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Menteri Besar Kedah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah mengulangi kenyataan berbaur hasutan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
“Saya ingin tegaskan dengan sekeras-kerasnya bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat negeri ini bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi kita harap Menteri Besar Kedah dapat menghormati hak Pulau Pinang dan tidak mengulangi kenyataan berbaur hasutan tersebut,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Pada masa sama, Kon Yeow mengulangi kenyataan bahawa sebarang tuntutan yang mahu dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah harus dibawa ke mahkamah.
“Jika mahu membuat tuntutan rasmi, saya sudah banyak kali nyatakan supaya bawa isu ini ke mahkamah.
“Beliau tidak perlu membuang masa dengan mengulangi dakwaan tidak berasas tersebut di luar mahkamah,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Justeru, Kon Yeow menyeru kepada semua wakil rakyat di negeri ini, termasuk pemimpin pembangkang supaya bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang.
“Saya harap semua Ahli Dewan bersama-sama kita dalam isu ini termasuklah MP (Ahli Parlimen) pembangkang.
“Adakah (MP pembangkang) memihak kepada Pulau Pinang atau pemimpin parti,” soalnya.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah bertegas bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja dan bukannya Pulau Pinang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS