Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini merasmikan penganjuran kali ke-7 Penang Souq Ramadan 2017, program variasi sepanjang bulan Ramadan di negeri ini.
Ketika berucap, beliau memuji umat Islam yang terdiri oleh pelbagai bangsa melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan demi meraih untung sepanjang bulan Ramadan ini.
“Penang Souq Ramadan mencatatkan jumlah peningkatan penyertaan memberangsangkan setiap tahun, dan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan semua bangsa dalam bidang ekonomi dan perdagangan yang terdapat di Pulau Pinang.
“Peningkatan jumlah ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan semua bangsa
dalam bidang ekonomi dan perdagangan yang terdapat di Pulau Pinang,” ucapnya pada Majlis Perasmian dan Pelancaran
Penang Suoq Ramadan 2017 di sini.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail; Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud dan Pegurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar.
Menurut Guan Eng, pentadbirannya mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan , antaranya dengan menyediakan pelbagai program kebajikan untuk membantu golongan penjaja, seperti skim pinjaman mikro kredit Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dan Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM).
“Kerajaan Negeri adalah adil untuk semua tidak kira bangsa dan agama… sebagai contoh, peruntukan pembangunan hal ehwal agama Islam telah meningkat sebanyak 84 peratus sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini.
“Sejak tahun 2008 hingga 2016, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukkan sebanyak RM457.05 juta berbanding RM249.09 juta pada tahun 1999 hingga 2007,” katanya.
Souq Ramadan merupakan suatu penjenamaan dalam mengimarahkan bulan suci tersebut bagi aktiviti perniagaan makanan, pakaian, buffet berbuka puasa, penambahan ibadah dan program-program lain yang bermanfaat.