SAYA PULAU PINANG… SERAMAI 1,600 peserta pelbagai lapisan usia dan latar belakang menyertai acara mendaki Bukit Bendera, I Penang Hike #UntukNegeriKita anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), peneraju sukan bukan kompetitif, Active Style Sdn. Bhd. dan TLM Event Sdn. Bhd.
Acara yang dilangsungkan pada sambutan Hari Ibu tersebut meriah apabila Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon turut sama mendaki sehingga ke puncak Bukit Bendera.
Pelepasan peserta disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sambil diiringi Pengurus Besar PHC, Cheok Lay Leng.
Ketika berucap, Guan Eng berkata, Pulau Pinang merupakan negeri yang penuh dengan semangat kecintaan dan kasih sayang.
“Acara ini melambangkan semangat kita sebagai rakyat Pulau Pinang yang cintakan negeri kita, cintakan keharmonian antara kaum dan saling menyayangi antara satu sama lain, saksama serta adil untuk semua,” katanya yang berharap para peserta bukan sahaja mendaki dengan penuh semangat, malah juga menghayati keindahan alam semulajadi di Bukit Bendera.
Selesai berucap, Guan Eng melaungkan ‘I Penang’ dalam empat bahasa yang turut disambut dengan gelak gempita semua peserta yang hadir.