Pulau Pinang perbaharui Enakmen Lembaga Muzium, lebih relevan dan dinamik

Admin

GEORGE TOWN – Usul penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang 2020 diterima secara majoriti setelah dibaca kali ketiga dan dipersetujui tanpa pindaan.

 

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin ketika membentangkannya berkata bahawa usul tersebut adalah bertujuan memperbaharui enakmen yang telah diguna pakai sejak 1972.

 

“Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang telah ditubuhkan di bawah Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang 1972 dan perkhidmatan muzium adalah berteraskan serta berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Enakmen tersebut.

 

“(Dan) pembaharuan enakmen ini adalah mengikut peredaran zaman serta berdasarkan perundangan terkini bagi memperbaharui enakmen yang tidak pernah diperbaharui sejak 1972,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong ketika membacakan usul berkenaan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Dewan Sri Pinang pada 19 Oktober 2020.

 

Menurut Soon Hin, Pulau Pinang ingin menjadi negeri pertama di Malaysia dalam alaf baru yang melakukan transformasi perundangan berkaitan muzium.

 

“(Hal ini adalah) dengan mempertimbang dan memperkasakan perkara-perkara baharu yang lebih relevan dan dinamik mengikut peredaran masa.

 

“Penggubalan RUU Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang 2020 adalah bagi menjalankan kajian semula dasar-dasar sedia ada, cadangan dasar-dasar baru serta penetapan laras bahasa perundangan moden tanpa mengubah ketetapan undang-undang asal.

 

“(Dan) dasar-dasar yang perlu diterjemahkan ke dalam bentuk perundangan hendaklah dipastikan berupaya mempunyai kesan undang-undang yang efektif dan tidak berupaya dilaksanakan secara pentadbiran melainkan memerlukan kuasa perundangan terlebih dahulu,” jelasnya.

 

PENGARAH Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad (kiri) bersama-sama Yeoh Soon Hin (tengah) dan Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi sejurus pembentangan usul Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang 2020 di Dewan Sri Pinang.

Terdahulu, Soon Hin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang memberitahu bahawa asas pertimbangan untuk memperbaharui enakmen sedia ada antaranya adalah untuk :

(i) Menggantikan keanggotaan Ahli Lembaga Muzium dengan wakil Balai Seni Visual Negara;

(ii) Memperkukuhkan kuasa Lembaga Muzium termasuk memberi kuasa kepada Pengarah untuk menetapkan aktiviti bersesuaian;

(iii) Menambah baik pengurusan sumber manusia

(iv) Mengemas kini syarat lantikan Pengarah dan Kurator dengan mengambil kira kelayakan Jabatan Pekhidmatan Awam (JPA) dan diperakukan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);

(v) Memastikan pengurusan Lembaga Muzium lebih berintegriti

(vi) Memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri mengelola aktiviti permuziuman di Pulau Pinang bagi mengekang penyalahgunaan nama muzium.

 

Dalam pada itu, ADUN Bagan Jermal yang juga Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menyokong usul yang dibentangkan.

 

Menurut beliau, muzium memainkan peranan sebagai wahana dalam memperlihatkan khazanah dan warisan setiap bangsa di samping menjadi tempat penyimpanan artifak bersejarah.

 

“Setiap kali kita pergi melancong, muzium merupakan salah satu destinasi popular untuk dikunjungi kerana muzium adalah sumber ilmu dan rujukan ketamadunan manusia.

 

“Muzium juga berperanan memupuk semangat cintakan negeri dan negara, oleh hal yang demikian saya bersetuju usul pembaharuan Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang 1972 agar mengikut peredaran zaman serta berdasarkan perundangan terkini,” katanya.

 

Turut berbahas, ADUN Bagan Dalam, M. Satees yang berharap dengan adanya pembaharuan dalam enakmen berkaitan, artifak bersejarah yang ditemui di negeri ini dapat dikembalikan semula dan bukannya dipamerkan di negeri lain atau luar negara.

 

“Salah satu artifak yang boleh saya rujuk adalah penemuan 27 rangka manusia (di Guar Kepah), kini disimpan di Leiden, Belanda yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Pulau Pinang.

 

“Saya berharap dengan adanya enakmen baharu ini akan ada usaha-usaha daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membawa balik artifak milik kita,” zahirnya yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul berkaitan.

 

Bagi ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid yang turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan mencadangkan supaya pihak Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dapat mempertimbangkan untuk mengadaptasikan normal baharu melalui pendigitalan muzium dengan mewujudkan muzium secara dalam talian.

 

“Di London, British Museum sebagai contoh telah merealisasikan penggunaan virtual tour (lawatan secara maya) termasuk National Museum of Modern and Contemporary Art di Seoul, Korea yang menawarkan lawatan secara dalam talian.

 

“(Inisiatif) ini dilaksanakan dengan kerjasama antara pihak muzium berkaitan dan Google,” cadangnya.

 

ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah dan ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy antara yang turut serta mengambil bahagian dalam sesi perbahasan berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN & AHMAD ADIL MUHAMAD