Pulau Pinang perintis program Tahfiz-TVET, sasar lahir 1,000 huffaz

e98fbc18 6d8b 49e2 87c4 2aa0a64243b3

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim atas kelulusan RM10 juta peruntukan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri perintis dalam pelaksanaan Program Tahfiz-Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Program ini menyasarkan 1,000 pelajar tahfiz (huffaz) dalam pelbagai kursus bidang TVET bertujuan untuk membawa transformasi kepada pendidikan berkemahiran, gabungan unsur tahfiz dan kemahiran vokasional untuk membentuk individu yang beriman dan berkebolehan selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0.

“Program ini menekankan kepada penggunaan teknologi dalam pembelajaran serta kerjasama dengan pemain industri bagi memastikan pelajar memenuhi keperluan sebenar industri selain membuka peluang menjadi usahawan yang berkemahiran,” jelasnya semasa merasmikan Program Tahfiz-TVET Negeri Pulau Pinang di Dewan Mutiara, Politeknik Seberang Perai di sini pada 9 Februari 2024.

Kata Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu berkata lagi bahawa pelaksanaan projek perintis itu adalah kolaborasi antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melalui sekolah-sekolah Tahfiz di Pulau Pinang dan rakan strategik yang dilantik sebagai agensi pelaksana.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberitahu bahawa rakan strategik yang dimaksudkan dalam menyediakan latihan kemahiran dan persijilan berkaitan TVET seperti Institut Latihan Perindustrian, GIATMARA, Politeknik, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Profesional Mutawwif Development dan Polaris Maritime Training Academy Sdn. Bhd..

“Rakan-rakan strategik ini akan dikembangkan lagi melalui sesi libat urus di bawah penyelarasan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang bersesuaian dengan kursus yang akan dilaksanakan.

“Persijilan yang ditawarkan pula terdiri dari Sijil Kemahiran Malaysia, Persijilan Industri dan Sijil Profesional,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung sebelum menyampaikan Sijil Tamat Program Rintis
Tahfiz TVET kepada 36 pelajar berkenaan.

Mereka adalah pelatih hasil daripada Program Tahfiz-TVET yang telah dilaksanakan bersama-sama Institut Latihan Perindustrian dan Giat MARA Pulau Pinang.

Daripada 36 pelatih berkenaan, Buletin Mutiara difahamkan, 22 orang merupakan pelajar Tahfiz Al-Aminiah Bertam (Tahfiz Vokasional), Kepala Batas yang menjalani Kursus Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa, manakala 14 lain dari Maahad Tahfiz Akademi Al-Quran As-Syamil, Bukit Mertajam di bawah Kursus Pembuatan Pastri dan Pengkhususan Confectionery & Bakery.

Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli turut berucap dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Mohd. Zahari Ismail; Pengarah JHEAIPP, Dato’ Zulkifli Rashid; dan Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr. Syaharudin Shah Mohd. Nor.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR