Pulau Pinang perkenal ‘Foldies on Rapid’, pertama di Malaysia

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui usahasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Rapid Penang, selaku pengendali perkhidamatan bas di negeri ini, baru-baru ini memperkenalkan ‘Foldies on Rapid‘.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif ‘Foldies on Rapid‘ ini membolehkan pengguna basikal lipat (folding bicycle) menaiki bas.

‘Banyak inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menggalakkan rakyat menggunakan basikal, bukan sahaja untuk tujuan kesihatan tetapi juga bagi mencapai hasrat menjadi ‘Negeri Berbasikal Pertama’ di Malaysia.

“(Dan) hari ini, kita (Pulau Pinang) mencatat lagi satu sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan inisiatif ‘Foldies on Rapid‘ ini,” ujarnya pada sidang media sejurus pelancaran Majlis ‘Foldies on Rapid’ di Hentian Bas Komtar, pada 19 Januari 2019 lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali; Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran dan Naib Presiden Kanan Rapid Penang, Osman Amir.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, inisiatif ini juga adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam untuk ke suatu-suatu tempat berbanding menggunakan kenderaan persendirian.

“Dengan adanya perkhidmatan sebegini orang ramai boleh menggunakan basikal dari tempat kediaman ke perhentian bas terdekat untuk menaiki bas Rapid (Penang) ke destinasi yang diingini.

“Saya difahamkan, sebanyak 200 bas Rapid (Penang) seluruh negeri iaitu di bahagian pulau dan Seberang Perai yang menyediakan kemudahan ini,” katanya yang turut teruja menyambut kumpulan pertama pengguna ‘Foldies on Rapid‘ di sini.

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri) menyambut ketibaan kumpulan pertama pengayuh basikal lipat ke Hentian Bas Komtar baru-baru ini.

Sementara itu, Osman ketika ditemui berkata, pihaknya mempunyai kira-kira 300 buah bas yang beroperasi seluruh negeri dan 200 daripadanya digunakan untuk menjayakan inisiatif ini.

“Bagi mereka yang mempunyai basikal lipat sahaja boleh menggunakan perkhidmatan ini yang akan berkongsi ruang bersama-sama orang kurang upaya (OKU).

“Jadi, sila lihat pada tanda atau pelekat OKU di bas yang berkaitan sebelum menaikinya dan tambang perjalanan biasa dikenakan ke atas penumpang, bukannya basikal lipat yang dibawa,” jelasnya.

Difahamkan, sebanyak lima hingga 10 unit basikal lipat boleh dimuatkan dalam setiap bas bergantung kepada kekosongan di ruangan OKU.

Sekiranya ruangan OKU diduduki, maka jumlah basikal lipat yang boleh dimuatkan juga berkurangan.

“Suka saya tegaskan di sini bahawa pihak Rapid Penang akan memberikan keutamaan kepada golongan OKU untuk menggunakan perkhidmatan bas berbanding pengguna basikal, jadi saya harap pengguna basikal memahaminya.

“(Dan) hanya basikal lipat sahaja dibenarkan untuk menaiki bas,” tegasnya.

Melalui tinjauan Buletin Mutiara pagi ini, rata-rata pengguna basikal lipat yang ditemui teruja menggunakan perkhidmatan ‘Foldies on Rapid‘ ini.

Malah, turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, MBPP dan Rapid Penang kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam, bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga penunggang basikal lipat di negeri ini.

HANYA bas yang mempunyai logo OKU boleh dinaiki oleh pengguna basikal lipat.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS