Pulau Pinang perlu punyai pusat R&D sendiri

DATO’ Abdul Halim Hussain menyifatkan bahawa antara cabaran besar yang bakal dihadapi beliau sebagai Exco Perdagangan & Industri Dan Pembangunan Keusahawanan adalah untuk terus merangsang momentum ekonomi negeri agar kekal kukuh pada situasi kritikal penularan pandemik COVID-19 kini.

Menurutnya, walaupun Pulau Pinang mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM7.1 bilion pada suku pertama (Q1) 2020, namun perebakan wabak COVID-19 di seluruh dunia merupakan cabaran besar yang sedikit-sebanyak memberi impak terhadap ekonomi negeri.

“Sebanyak 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Pulau Pinang adalah melibatkan sektor industri yang mana pelaburan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ke Pulau Pinang pada tahun 2018 mencatatkan RM5.8 bilion dan RM16.9 bilion (2019).

“Dalam situasi kini, cabarannya adalah bagaimana industri boleh terus bergerak, masih ada peluang pekerjaan dan teruskan rangsangan ekonomi?

“Sejak dari tahun 2018, semua bercakap tentang kepentingan Revolusi Industri 4.0 iaitu meningkatkan kecekapan, membangunkan serta menyediakan bakat ke arah robotik, automasi, sains komputer dan pelbagai lagi. Tahun lalu (2019), kebanyakan daripada industri telah bergerak ke arah seruan ini dengan jangkaan 2020 merupakan tahun terbaik untuk Pulau Pinang mencapai kadar pertumbuhan tertinggi, tetapi COVID-19 telah memperlahankan perkembangan ini.

“Walau bagaimanapun, kita percaya jumlah keseluruhan GDP untuk Pulau Pinang masih akan kekal dua digit sebagaimana yang dicatatkan pada Q1 (RM7.1 bilion),” ujar beliau ketika ditemubual Buletin Mutiara baru-baru ini.

Perdagangan dan usahawan

Bagi memacu perdagangan domestik untuk terus kekal kukuh, Kerajaan Negeri pada Jun lalu difahamkan telah menjalinkan kerjasama dengan platform e-dagang nombor satu di Malaysia iaitu Shopee.

Suntikan dana sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi membantu melonjakkan produk peniaga tempatan yang didagangkan melalui platform tersebut.

Menurut Abdul Halim, sehingga 15 September 2020, kiosk ‘Penang e-Mall’ kini mempunyai seramai 5,466 peniaga tempatan (warganegeri) berdaftar.

“Peniaga hanya perlu berdaftar dengan Shopee untuk memasarkan produk mereka, dana ini, kita (Kerajaan Negeri) tidak berikan sekaligus tetapi secara berfasa iaitu RM50,000 setiap bulan kepada Shopee sejak Jun lalu.

“Melalui dana ini, Shopee akan memberikan diskaun berbentuk baucar dan juga penghantaran secara percuma bagi setiap belian produk daripada peniaga berdaftar.

“Kita akan terus menjalinkan kerjasama dengan platform e-dagang yang lain juga seperti Lazada dan PG Mall,” maklum beliau.

Selain itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Usahawan juga giat memberikan latihan pemasaran digital yang mana pada tahun lalu (2019), sejumlah 1,060 usahawan telah dilatih.

“Tahun ini, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setakat ini kita baru melatih 450 usahawan melalui tiga siri bengkel yang dijalankan.

“Latihan ini adalah sebagai galakan dan persediaan kepada para usahawan untuk melakukan jualan secara dalam talian… ini kerana platform digital semakin penting dan diterima pakai kini,” jelasnya.

Industri

Adalah menjadi tugas besar dan mencabar bagi mengekalkan status Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon Timur’. Bagaimanapun, Perang Dagang Amerika Syarikat (AS) dan China sejak beberapa bulan lalu dilihat memberi sedikit manfaat kepada ekonomi negeri.

Abdul Halim menjelaskan bahawa disebabkan perang dagang tersebut, banyak pelaburan yang masuk ke Malaysia dan Pulau Pinang khususnya.

“Malah, manfaat pelaburan yang kita terima bukan sahaja disebabkan Perang Dagang AS dan China tetapi juga melibatkan Perang Dagang Eropah dan Amerika.

“Justeru, (Pulau Pinang) perlu lebih bersiap-siaga dalam mempersediakan bakat yang diperlukan industri kerana kita tidak mahu penghijrahan bakat keluar dan akhirnya merugikan negeri, sebaliknya kita mahu mereka kekal berkhidmat di sini dengan mencurahkan idea serta kepakaran masing-masing,” tegasnya sambil memberitahu bahawa bakat anak negeri boleh ditemui di mana-mana terutamanya di negara Singapura, China dan US.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut berpandangan bahawa industri perubatan, aeroangkasa, Internet of Things (IoT), pertahanan dan keretapi mempunyai potensi pertumbuhan tinggi untuk diceburi selain sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi sumber kekuatan ekonomi negeri.

Harapan dan perancangan

Disoal mengenai perancangan beliau, Abdul Halim memaklumkan bahawa untuk menjadi sebuah negeri yang lebih maju serta membangun, Pulau Pinang perlu mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunannya (R&D) sendiri.

Menyedari kekangan untuk membangunkan pusat tersebut yang sekurang-kurangnya menelan belanja RM15 juta, kebanyakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tidak mampu melaksanakannya.

Justeru, Halim menyatakan bahawa beliau akan mengutarakan cadangan pembangunan tersebut kepada pihak Kerajaan Negeri.

“Pulau Pinang sememangnya memerlukan pusat R&D untuk membantu IKS kerana golongan berkaitan sememangnya tidak mampu membangunkannya ekoran kos pembangunan yang tinggi… pusat R&D ini biasanya dimiliki oleh syarikat-syarikat besar.

“Di peringkat Persekutuan telah ada inisiatif sebegini, dan dalam situasi ini, Kerajaan Negeri sememangnya perlu membantu kerana kita ada bakat dalam R&D, cuma ia (R&D) selalunya dikawal oleh syarikat multinasional,” ulasnya.

Berkongsi harapan, Abdul Halim memaklumkan bahawa beliau hanya ingin melihat setiap industri lebih berkembang di peringkat negeri hingga rantaian global.

“Saya akan meletakkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk setiap industri sedia ada seperti mikro dengan jumlah perolehan purata setahun RM300,000, kecil (RM300,000 hingga RM15 juta) dan medium (RM15 juta hingga RM50 juta) untuk berkembang.

“Kita ingin lihat syarikat lokal akan berkembang ke peringkat global iaitu adalah ditegaskan bahawa sebenarnya Pulau Pinang mempunyai tidak kurang daripada lapan syarikat lokal yang telah menembusi pasaran global seperti Inari, Vitrox dan Globetronics.

“Malah, turut menjadi harapan saya adalah untuk melihat Pulau Pinang menguasai OBM (Original Brand Manufacture) suatu hari nanti… (Pulau Pinang) dulu di peringkat OEM (Original Equipment Manufacture) dan kini ODM (Original Design Manufacture),” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD