Pulau Pinang rancang bida SUKMA 2028

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia membida untuk menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028, maklum Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik pada sesi soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini pagi tadi.

“Mesyuarat sebelum ini memang pernah cadangkan Pulau Pinang untuk anjur SUKMA, tetapi selepas tahun ini (2022) jawatankuasa akan beri ruang 2024 kepada Johor dan 2026 kepada Kelantan.

“Tahun 2028 dimaklumkan ada kekosongan dan Kerajan Negeri memang bersedia, cuma terpulang kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA untuk buat keputusan,” jelas Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal.

Dalam perkembangan berkaitan, Lip Chee juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk menjadikan Batu Kawan sebagai bandar sukan.

“Selepas Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSKLPP) ambil alih Stadium Negeri Batu Kawan pada 1 Julai 2020, pihak perbadanan telah bermesyuarat dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bersama 46 persatuan di Pulau Pinang.

“Mesyuarat tersebut adalah berkaitan persatuan-persatuan sukan yang masih kekurangan atau tidak ada fasiliti dan kemudahan khusus.

“Setelah beberapa perbincangan, seperti saya jawab, memang Kerajaan Negeri merancang mahu mewujudkan bandar sukan merangkumi fasiliti penting yang masih tidak ada di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING