BERTAM – Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang merancang untuk memperkukuhkan lagi industri herba di negeri ini melalui projek menaik taraf Taman Herba Bertam di sini.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata amat penting bagi Kerajaan Negeri mengusahakan tanaman bernilai tinggi, khususnya herba kerana Pulau Pinang mempunyai keluasan tanah yang agak terhad.
“Taman Herba Bertam seluas 2.03 hektar yang dibangunkan pada sejak 2019 kini menempatkan 200 spesies herba dan merupakan yang terbesar di negara ini.
“Antara herba bernilai tinggi yang terdapat di Taman Herba Bertam adalah Kunyit Hitam, Tongkat Ali, Halia Bara, Mahkota Dewa dan banyak lagi.
“Fungsi utama taman herba ini adalah untuk menjana plasma yang mana Jabatan Pertanian Negeri mengumpulkan spesies-spesies herba bagi tujuan penyelidikan.
“Selain itu, kami juga mahu memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan herba kerana generasi hari ini kebanyakannya sudah kurang mengenali taman bernilai tinggi ini.
“Selain menempatkan 200 spesies herba, Taman Herba Bertam juga dijadikan sebagai lokasi agropelancongan kerana turut menyediakan hostel untuk penginapan serta kafe minuman dan makanan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas merasmikan Hari Herba dekat sini pagi tadi.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Pegawai Pertanian Kuasausaha Negeri Pulau Pinang, Rozita Hamid serta wakil-wakil daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Fahmi berkata, bagi mengukuhkan lagi industri herba negeri, Jabatan Pertanian (Pulau Pinang) telah memohon peruntukan khas daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menaik taraf Taman Herba Bertam di sini.
“Adalah penting untuk kita menaik taraf taman herba ini dengan menyediakan lebih banyak inftrastruktur serta kemudahan yang diperlukan demi keselesaan pengunjung dan menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke sini.
“Pada tahun lepas, Taman Herba Bertam mencatatkan jumlah pengunjung seramai 78,535 orang.
“Di samping itu, terdapat seramai enam usahawan yang aktif beroperasi di taman herba ini dan mencatatkan jumlah pendapatan kira-kira RM1.08 juta pada tahun yang sama,” jelasnya sambil menambah bahawa Jabatan Pertanian menyasarkan untuk menempatkan kira-kira 300 spesies herba di di sini.
Sementara itu, Mohd. Muhaimin berkata Taman Herba juga menjadi hab penyelikan herba serta rujukan oleh para pelajar universiti dan penyelidik.
“Taman Herba Bertam menjadi salah satu rujukan bagi pelajar universiti dan penyelidik kerana tidak semua herba yang ada di sini, ada di tempat-tempat lain.
“Ini kerana kami telah mengumpulkan herba dari pelbagai tempat dan menjadikan Taman Herba Bertam sebagai hab penyelidikan.
“Malah, kami juga merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang mendapat pengiktirafan sebagai pusat agropelancongan,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR