GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Royal Botanic Garden of Edinburgh (RBGE) bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam projek pemeliharaan Taman Botani Pulau Pinang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, ia merupakan kerjasama kali kedua dengan taman botani antarabangsa mengenai cara pemeliharaan dan penarafan Taman Botani Pulau Pinang.
“Saya telah mengadakan lawatan ke Royal Botanic Garden of Edinburgh baru-baru ini dan mereka bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan Pulau Pinang.
“(Dan) kerjasama ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memiliki taman botani yang disenaraikan sebagai tapak warisan,” katanya kepada media sejurus Majlis Penyerahan Cek Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada St. Paul’s Church di sini pagi ini.
Menurut Jagdeep, melalui persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lalu, telah diluluskan Enakmen Perbadanan Taman Negeri (Botani) Pulau Pinang 2017 yang juga merupakan langkah pertama ke arah menjadikan Taman Botani Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan UNESCO.
“Pada Januari 2017, perjanjian sama turut dimeterai dengan Taman Botani Singapura untuk berkongsi pengetahuan dan teknologi hortikultur, pengurusan taman, pemuliharaan serta penyelidikan.
“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga turut melihat jenis kerjasama lain yang boleh diusahakan bersama-sama (pihak pengurusan) Kew Gardens, London dengan menjemput mereka untuk datang ke Malaysia khasnya ke Pulau Pinang bagi melatih pakar hortikultur di sini.
“(Dan) secara dasarnya, pihak pengurusan Kew Gardens telah bersetuju untuk memberi biasiswa kepada rakyat Malaysia, bukan sahaja penduduk Pulau Pinang, malah juga melatih mereka dalam bidang hortikultur dan botani.
“Hal ini kerana, Kew Gardens sahaja satu-satunya taman yang boleh mengeluarkan dan mengesahkan ahli botani serta ahli hortikultur,” jelasnya yang turut melawat ke Royal Botanic Gardens, Kew atau lebih dikenali sebagai Kew Gardens di London baru-baru ini.
Tambah Jagdeep, terdapat kadar perolehan pekerja yang tinggi di taman botani di sini, namun masih kekurangan pakar dalam bidang hortikultur.
“Itulah kekangan yang dihadapi dalam menguruskan taman-taman di sini, kita perlu melatih pekerja kita untuk lebih memahami bidang hortikultur dan pengurusan taman botani.
“Sebab itu, Kerajaan Negeri merancang untuk bekerjasama dengan pihak pengurusan Kew Gardens bagi melihat sama ada mereka boleh menawarkan kursus jangka pendek atau sederhana atau mungkin kursus penuh kepada pekerja kita yang layak,” ujarnya.
Jagdeep dalam pada itu turut berharap agar pihak pengurusan Kew Gardens akan bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melahirkan lebih ramai lagi ahli-ahli serta pakar-pakar dalam bidang hortikultur dan botani.