GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menempatkan personel di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, cadangan tersebut telah dibentangkan oleh pegawai daripada KPKT dalam Mesyuarat Exco pada 7 Ogos 2019.
Berdasarkan cadangan tersebut, menurut beliau, pihak KPKT mencadangkan agar Sekretariat Muafakat Komuniti (SKM) diwujudkan di unit-unit PPR di negeri ini.
“PPR Taman Manggis dan PPR Bagan Jaya telah dipilih sebagai perintis bagi pelaksanaan cadangan tersebut dan kita telah mengenal pasti ruang kosong untuk dijadikan pejabat yang akan menempatkan pegawai dari KPKT.
“Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida (Kamaruddin) akan hadir ke PPR Taman Manggis bagi melancarkan sekretariat (SKM) pertama pada 16 Oktober ini,” ujarnya kepada pemberita sejurus berucap pada Bengkel Inisiatif Strategik Penang2030 dekat sini, tengah hari ini.
Menurut Jagdeep, cadangan tersebut juga merupakan pendekatan yang lebih realistik daripada menempatkan pegawai polis di PPR.
Beliau berkata demikian ketika memberi respons terhadap cadangan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim semalam yang mahu menempatkan dua anggota polis di 38 PPR sekitar ibu negara bagi mengekang kejadian jenayah.
“Perkara ini (menempatkan anggota polis di PPR) perlu dibincangkan dengan lebih lanjut kerana ia akan menimbulkan mengekang kebebasan…seolah-olah mereka (penduduk) sedang dalam pemerhatian polis.
“Sedangkan tidak semua yang tinggal di PPR adalah penjenayah, ada yang baik…ada yang sangat miskin dan dengan menempatkan polis dalam kalangan mereka, suasana akan menjadi tidak kondusif,” katanya.
Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa di Pulau Pinang melalui kolaborasi dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), program-program pemberdayaan membabitkan penghuni di PPR telah lama dilaksanakan dari masa ke masa.
“(Dan) program ini sangat berjaya seperti di PPR Jalan Sungai (Sungai Pinang) yang mana melalui pendekatan yang diambil oleh PWDC dan Kerajaan Negeri dilihat berkesan dalam menangani isu-isu yang sering dikaitkan dengan PPR.
“Melalui SKM yang dicadangkan oleh KPKT, pegawai KPKT yang ditempatkan akan merancang program-program pemberdayaan dan kesedaran kepada penghuni PPR dan langkah ini lebih mampan serta harmoni berbanding menempatkan anggota polis,” jelasnya.
Terdahulu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 17 Februari 2019 dengan tujuan untuk memberdayakan komuniti melalui pendekatan kesedaran mengenai harta benda dan ruang yang dikongsi bersama di kawasan kediaman setempat.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : CHAN KOK KUAN