GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri berkenan menyertai Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Komuniti Setempat yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelutong Bersama-sama Persatuan kebajikan Masyarakat Sejahtera Pulau Pinang dan Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Hashim Yahya, Jalan Perak di perkarangan masjid tersebut di sini pada 7 Mac 2025.

Berucap dalam majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya senantiasa menyambut baik usaha pelbagai pihak dalam kalangan usahawan, perseorangan dan pertubuhan kerajaan (NGO) menganjurkan sumbangan amal bagi membantu golongan terpilih di negeri ini.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, penganjuran majlis berbuka puasa yang diadakan serentak dengan majlis amal sekali gus memperkasa semangat perpaduan dan rahmah dalam kalangan masyarakat lokal.
“Kerajaan Negeri sememangnya menyambut baik usaha yang diambil oleh para usahawan, NGO dan individu untuk membantu dari segi kebajikan.
“Inisiatif seperti ini adalah contoh terbaik bahawa semua pihak boleh berganding bahu untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka yang kurang bernasib baik.
“Semoga usaha yang dilaksanakan ini memberi manfaat besar kepada mereka memerlukan, dan membuka ruang untuk lebih banyak program kebajikan bagi membantu rakyat jelata,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Ahli Parlimen Jelutong atas insiatif membiayai keseluruhan majlis amal pada malam tadi serta pemberian sumbangan 50 bakul makan asas kepada asnaf terpilih.
Selain itu, Kon Yeow turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Penasihat Persatuan Kebajikan Masyarakat Sejahtera Pulau Pinang, Dato’ Gazali Husain atas sumbangan RM2,000 kepada pelajar sebuah Maahad Tahfiz.
“Pada petang yang mulia ini juga, kita bakal menyaksikan tiga usahawan muda daripada AWR Construction Builder Sdn. Bhd., Perusahaan Bumi Bina & NZ Ideal dan Samudera Jaya yang akan menyumbang RM20,000 kepada Yayasan Amal TYT Pulau Pinang,” ujarnya.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer turut berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, mantan Ketua Menteri merangkap ADUN Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud; Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Sejahtera Pulau Pinang, Mahathir Mohd. Jamal Mohd. dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Hashim Yahaya, Abdul Razak Mansor.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT